suria

Semangat kental mangsa gempa bumi Padang

PADANG (SUMATERA BARAT): Rumah dan kehidupan mereka mungkin telah musnah tetapi semangat kemanusiaan yang ditunjukkan sesetengah mangsa gempa bumi di Padang tidak lumpuh dan akan terus membara walaupun dalam keadaan selepas tragedi teruk itu.

Ketika misi bantuan Aman Malaysia, wartawan Bernama menyaksikan ketabahan mangsa itu di sesetengah kawasan yang dilanda teruk di daerah Pariaman di mana tidak ada bantuan diterima daripada mana-mana sumber kerana tempat-tempat di sini sangat sukar untuk dikunjungi.

Nawir Nagur, 46, ketua rumah untuk 13 orang dari Dusun Jua Banyak, Kampung Dalam, Pariaman Padang menunjukkan semangat ketahanan walaupun rumahnya musnah akibat gempa bumi.

"Rumah saya hancur. Kami sekarang tinggal di sini," beliau menunjukkan lantai pondok kecil yang dianggarkan saiz sebesar hanya 60 kaki persegi.

Rumah beliau mungkin hanya satu daripada anggaran 6,500 rumah yang musnah akibat gempa bumi itu yang mengorbankan jumlah nyawa yang tidak diketahui dan beliau dan sahabat sekampungnya masih boleh tersenyum, gembira dan berterima kasih apabila Aman Malaysia membawakan sumbangan makanan kepada mereka.

"Kami sekarang perlukan khemah, susu bayi dan juga ubatubatan. Udara tidak elok, tidak segar jadi ada di antara kami yang kena asma, sakit kerongkong dan gatal-gatal kerana tiada rumah," kata Nawir.

Sepanjang perjalanan ke kampung beliau, kelihatan beberapa kanak-kanak menunggu di tepi jalan memegang kotak untuk mendapatkan makanan.

Apabila ada orang memberhentikan kenderaannya untuk memberikan sedikit makanan, kanak-kanak itu meluru ke arah kereta itu meminta sesuatu untuk dimakan.

Di sebuah stesen petrol di Pariaman, pasukan sukarelawan bantuan Aman Malaysia melihat tiga kotak jernih penuh dengan duit untuk sumbangan yang diletakkan di luar bilik solat tetapi tidak ada sesiapa yang mencurinya.

Bagaimanapun kekuatan semangat penduduk Padang perlu dipuji kerana mereka tidak menunggu lama untuk terus bekerja walaupun rumah jiran atau kedai runtuh di sebelahnya. BERNAMA

Artikel Lain