suria

Jerebu di Dumai, Riau semakin buruk

JAKARTA: Keadaan jerebu di Kota Dumai, Riau yang menghadap Selat Melaka dilaporkan semakin buruk hari ini sehingga pihak berkuasa tempatan meletakkan bandar itu dalam keadaan "siaga 1" iaitu tahap berjaga-jaga peringkat satu dan meminta semua penduduk memakai topeng penutup muka ketika keluar rumah. Naib Datuk Bandar Dumai, Dr. Sunaryo ketika menetapkan status itu berkata, keadaan asap jerebu itu mengakibatkan banyak penduduk mengalami masalah kesihatan terutama penghidap jangkitan saluran pernafasan. "Atas nama Pemerintah Kota Dumai dengan adanya kabut asap (jerebu), kita menetapkan Siaga I dan sekali gus menyeru masyarakat menggunakan masker (topeng muka) bila ke luar rumah dan waspada setiap masa terhadap kemungkinan penyakit berkaitan," kata Sunaryo yang dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Antara di Dumai. Sunaryo, yang juga ketua pasukan pengurusan bencana berkata, jerebu yang berlaku sejak dua bulan lepas bertambah teruk sejak seminggu terakhir ini dengan asap sangat tebal dan menyelubungi bandar itu.

Beliau berkata, Indeks Pencemar Udara di bandar itu menunjukkan tahap berbahaya dengan bacaan 300 hingga 600 ppm setiap hari sehingga semua jabatan dan agensi kerajaan diarah segera mengedarkan topeng muka kepada rakyat.

Beliau berkata, jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah yang jangka bertambah teruk tahun ini bukanlah berpunca dari Dumai tetapi datang dari daerah-daerah sekitar seperti Rokan Hilir, Bengkalis, Pelalawan dan Siak. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Larangan demonstrasi di Phuket

Artikel Lain