suria

Malko Kilang Ke-4 Dunia Keluarkan Produk Terkini Industri Minyak Dan Gas

KEMAMAN: Malko Flanges & Fittings (M) Sdn Bhd, syarikat pengeluar produk paip untuk industri minyak dan gas milik Bumiputera yang beroperasi dekat Chukai di sini, berjaya mengeluarkan produk 'Misalignment Swivel Flange'.

Pengarah Urusannya, Datuk Wan Marzuki Wan Sembok berkata, produk baharu syarikat itu yang dihasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama Universiti Tenaga Nasional (Uniten), mula diguna pakai di tiga pelantar minyak di Malaysia sejak Januari lalu.

"Lebih membanggakan kejayaan ini menjadikan kami sebagai syarikat pertama di Malaysia, dan keempat di dunia, selepas dua kilang di Itali dan sebuah dari United Kingdom mengeluarkan produk berkenaan.

"Kami akan mengeluarkan lebih banyak produk baharu pada masa akan datang memandangkan kami mempunyai Jabatan R&D yang bertanggungjawab dalam penghasilan produk baharu untuk memenuhi permintaan industri dalam sektor minyak dan gas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada majlis Berbuka Puasa Anak-Anak Yatim dan Warga Emas Daerah Kemaman bersama Warga Kerja Syarikat Malko Flanges & Fittings di sini malam Khamis.

Pada majlis itu, seramai 50 warga emas menerima duit raya sebanyak RM300 seorang dan barang keperluan dapur, manakala 50 anak yatim menerima duit raya sebanyak RM100 serta barang keperluan dapur.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat itu juga akan mula membina kilang baharu yang lebih besar di atas tanah seluas enam ekar di Mak Lagam dekat Chukai, tidak jauh dari kilang induk sedia ada, sebelum akhir tahun ini.

"Pembinaan kilang baharu itu yang dijangka menelan belanja antara RM5 juta dan RM8 juta, dijadual siap pada hujung 2015.

"Apabila siap, kilang itu dijangka mampu menghasilkan produk kelengkapan paip, termasuk produk baharu pada kadar tiga kali ganda berbanding kapasiti pengeluaran kilang sedia ada," katanya.

Wan Marzuki berkata, dengan peningkatan kapasiti pengeluaran itu, kilang baharunya itu dijangka mengambil 50 hingga 60 lagi tenaga kerja mahir, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Malko Flanges & Fittings juga menembusi pasaran baharu Januari lepas apabila produk kilangnya turut dipasarkan di Turkmenistan selain pasaran sedia ada di Timur Tengah, Asia Tenggara termasuk Malaysia.

"Penghasilan produk baharu dan penerokaan pasaran baharu mempengaruhi jualan yang dicatatkan syarikat untuk tempoh Januari sehingga 19 Julai lalu, dengan jualan bernilai RM48 juta berbanding RM32 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya.


Artikel Lain