Syarikat Laksana GST Tahun Depan Diminta Daftar Segera - Niaga | mStar

Syarikat Laksana GST Tahun Depan Diminta Daftar Segera

Diterbitkan: Selasa, 15 Julai 2014 12:04 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Syarikat yang akan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada April tahun depan digesa mendaftar supaya layak untuk mengenakan dan mengutip GST daripada pelanggan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata syarikat yang meraih perolehan melebihi RM500,000 setahun layak mendaftar bagi GST dan syarikat yang mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan ketika ini.

"Jumlah syarikat yang mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia adalah sangat sedikit jumlahnya," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah dan Berbuka Puasa di Menara Kastam Johor pada Isnin.

Beliau menegaskan syarikat perlu mendaftar dengan segera dan tidak menunggu sehingga saat akhir untuk berbuat demikian bagi memudahkan urusan semua pihak.

Katanya pendaftaran GST sudah mula dibuka seawal 1 Jun 2014 tetapi sehingga sekarang jumlah yang mendaftar adalah terlalu sedikit.

Kementerian menyasarkan 250,000 syarikat akan mendaftar dalam pelaksanaan GST, katanya.

Ahmad juga berkata sistem MyGST sudah beroperasi sepenuhnya dan dikendalikan oleh Jabatan Kastam untuk memantau pelaksanaan GST yang turut menghubungkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dalam pada itu, katanya pegawai Jabatan Kastam perlu proaktif dengan mengadakan pertemuan dengan syarikat berkaitan untuk mendaftar GST yang dapat meningkatkan jumlah pendaftaran selain mencapai sasaran yang dibuat.

Katanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) layak untuk mendapat subsidi E-Baucar bernilai RM1,000 untuk membeli perisian perakaunan patuh GST jika mereka mendaftar dengan segera.

Sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi insentif itu dan berharap mereka akan merebut peluang ini, katanya.

Tags / Kata Kunci: GST

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan