Segelintir individu yang melakukan pembelian secara ansurans berhadapan masalah kewangan sehingga sulit membuat bayaran bulanan. -Gambar hiasan AI
KEMUDAHAN membeli secara ansuran membolehkan orang ramai memiliki pelbagai barangan yang dihajati tanpa perlu mengeluarkan wang dalam jumlah besar sekali gus.Bagaimanapun, kemudahan tersebut adakalanya memberi kesan buruk kepada segelintir individu yang gagal membuat bayaran mengikut jadual ditetapkan sehingga akhirnya dikejar golongan pengutip hutang. Situasi yang sering berlaku itu menyebabkan ramai beranggapan ejen kutipan hutang mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja bagi mendapatkan semula bayaran.Menjelaskan mengenai situasi berkenaan, seorang pengamal undang-undang, Adib Saat berkata, tanggapan awam mengenai 'kuasa' pengutip hutang adalah tidak tepat kerana urusan sewa beli tertakluk di bawah Akta Sewa Beli 1967 yang menetapkan hak serta tanggungjawab kedua-dua pihak.Menerusi hantaran di Facebook peribadinya, beliau menjelaskan bahawa syarikat kewangan sememangnya mempunyai hak untuk menuntut ansuran tertunggak."Mereka juga berhak mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku kemungkiran selain boleh mengambil semula barangan yang disewa beli mengikut prosedur yang dibenarkan perundangan," jelasnya.Kaedah bayaran secara ansuran menjadi trend masyarakat masa kini. -Gambar hiasan AINamun katanya, hak tersebut tidak boleh dilakukan tanpa had.Mengulas mengenainya, ujar beliau ejen kutipan hutang tidak dibenarkan mengugut atau melakukan intimidasi, menggunakan kekerasan terhadap peminjam atau ahli keluarga, menceroboh rumah tanpa kebenaran mahupun merosakkan harta benda."Mereka juga tidak boleh menyebarkan maklumat hutang kepada pihak yang tiada kaitan serta menyamar sebagai polis, pegawai mahkamah atau penjawat awam."Sekiranya berlaku ugutan, pencerobohan, kekerasan atau kerosakan harta benda, perbuatan itu boleh menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang lain termasuk Kanun Keseksaan, selain membuka ruang kepada tuntutan sivil," jelasnya.Jika anda diganggu ejen pengutip hutang, ini lima perkara yang boleh anda lakukan:1. Simpan semua bukti gangguan seperti rakaman panggilan, WhatsApp, mesej, gambar mahupun video daripada individu yang menghubungi.2. Catat tarikh, masa dan identiti individu terlibat.3. Buat laporan polis jika berlaku ugutan, kekerasan atau pencerobohan privasi.4. Kemukakan aduan kepada institusi kewangan yang melantik ejen berkenaan dan pihak pengawal selia yang berkaitan.5. Jangan lupa untuk dapatkan nasihat guaman sekiranya hak anda telah dicabuli.