TERDAPAT individu mengambil jalan mudah dengan memilih kaedah 'sambung bayar' bagi melepaskan beban ansuran bulanan kereta tanpa menyedari tindakan itu sebenarnya boleh mengundang masalah undang-undang.Menurut peguam M. Arif Azmi dari Tetuan Arif Azmi & Co, masih ramai beranggapan kaedah tersebut merupakan penyelesaian terbaik untuk mengurangkan komitmen kewangan, sedangkan ia berisiko membawa kepada pertuduhan jenayah. Jelas M. Arif, di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967, adalah menjadi satu kesalahan untuk menjual atau melupuskan kenderaan yang masih berada di bawah pembiayaan bank tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada institusi kewangan berkenaan.Bank adalah pemilik sebenar kenderaan selagi pinjaman belum diselesaikan. -Gambar hiasan AIMalah, katanya, sebarang 'perjanjian tepi' atau persetujuan antara penjual dan pembeli bagi urusan sambung bayar juga tidak mempunyai sebarang nilai di sisi undang-undang."Ramai sangka bila sudah tandatangan surat perjanjian sesama sendiri, semuanya selesai."Hakikatnya, perjanjian itu tidak mengikat pihak bank kerana pemilik sebenar kenderaan tersebut masih lagi bank selagi pinjaman belum diselesaikan," katanya.Menurut beliau, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.Bagi memudahkan orang ramai memahami situasi tersebut, M. Arif memberikan analogi bahawa tindakan sambung bayar ibarat seseorang menjual barang yang dipinjam daripada jirannya kepada orang lain tanpa pengetahuan pemilik asal."Kalau pembeli baharu gagal membuat bayaran atau menghilangkan kereta, bank tetap akan mencari individu yang menandatangani perjanjian pembiayaan kerana namanya masih tertera sebagai peminjam," jelasnya.Beliau berkata, selain berdepan tindakan mahkamah, individu terbabit juga berisiko mengalami rekod kredit yang terjejas, termasuk dalam sistem CCRIS, sekali gus menyukarkan urusan mendapatkan pembiayaan pada masa depan.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil jalan mudah semata-mata mahu melepaskan beban ansuran bulanan tanpa memahami implikasi undang-undang yang bakal ditanggung."Tanya diri sendiri, adakah berbaloi menggadaikan kebebasan dan rekod kewangan hanya kerana mahu melepaskan sebuah kenderaan yang secara teknikalnya masih menjadi milik bank?" katanya.Kesan sambung bayar- Sambung bayar tanpa kebenaran bank adalah salah di sisi undang-undang.- Perjanjian tepi tidak sah dan tidak melindungi pemilik asal.- Kereta masih milik bank selagi pinjaman belum selesai.- Risiko didakwa di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967.- Boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tiga tahun.- Rekod CCRIS boleh terjejas jika berlaku masalah.- Jalan mudah boleh bawa kesan kewangan dan undang-undang jangka panjang.