suria

Adat Naik Buai Semakin Luput Ditelan Zaman

Adat naik buai dilaksanakan sebagai tanda meraikan kelahiran anak di dalam sesebuah keluarga. -fotoBERNAMA
Adat naik buai dilaksanakan sebagai tanda meraikan kelahiran anak di dalam sesebuah keluarga. -fotoBERNAMA
Adat naik buai dilaksanakan sebagai tanda meraikan kelahiran anak di dalam sesebuah keluarga. -fotoBERNAMA

ALOR GAJAH: Adat 'naik buai' suatu ketika dahulu pernah menjadi amalan lazim pasangan Melayu yang baru mendapat cahaya mata, namun adat itu semakin dilupai generasi muda kini.

Pada kebiasaanya adat ini yang juga dipanggil 'berendoi' dilakukan selepas upacara mencukur rambut bayi iaitu pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan dan kadangkala ia dibuat semasa hari terakhir berpantang ibu iaitu pada hari ke-44 selepas bersalin.

Ia dilaksanakan sebagai tanda meraikan kelahiran anak di dalam sesebuah keluarga serta satu cara untuk memaklumkan mengenai kelahiran kepada masyarakat.

Bagaimanapun, mentaliti masyarakat yang berubah seiring dengan perubahan zaman menjadikan adat-adat terdahulu termasuk naik buai dianggap sebagai kolot dan tidak perlu dilaksanakan lagi.

Majlis Naik Buai

Adat naik buai lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu yang mengamalkan adat perpatih, namun amalannya pada masa kini mempunyai banyak perbezaan berbanding yang dilakukan nenek moyang terdahulu.

Di Melaka, antara kawasan yang masih mengamalkan adat itu ialah Taboh Naning, Melaka Pindah dan Lubok Cina.

Seorang pengamal adat itu, Maharam Tambi, 71, dari Ramuan China Besar di sini berkata pada masa dahulu, naik buai hanya dilakukan pada hari ke-44 selepas ibu bersalin dan disertai oleh anggota keluarga terdekat sahaja.

Beliau yang lebih dikenali sebagai 'wan (nenek) Meram' berkata sebatang kayu api yang belum dibakar dimasukkan terlebih dahulu ke dalam buaian menggunakan tali yang dibuat daripada bahagian pokok enau dan diayun oleh nenek atau individu paling tua dalam keluarga.

"Tujuan kayu dimasukkan terlebih dahulu adalah untuk menghalau semangat jahat, kononnya kayu ini akan menyerap semangat jahat tersebut," katanya kepada Bernama di sini.

Wan Meram berkata kayu itu kemudian dikeluarkan sebelum bayi diletakkan ke dalam buaian.

Alatan logam seperti parang kemudian diletakkan di bawah buaian ketika majlis itu yang dipercayai untuk menghalau syaitan.

"Bayi akan dibuai oleh nenek sehingga tidur sebelum diserahkan kepada ibunya," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata majlis naik buai pada masa sekarang banyak berubah dengan meninggalkan amalan-amalan khurafat seperti menghalau semangat jahat serta dibuat secara besar-besaran dengan mengundang penduduk setempat.

Katanya pasangan suami isteri yang mengadakan majlis naik buai kebiasaannya menyediakan buaian bayi menggunakan kain sarung dan dihias dengan bunga-bungaan yang diperbuat daripada bunga kertas.

Majlis itu, katanya, kini dimulai dengan bacaan doa selamat dan marhaban melibatkan kaum wanita.

Bayi kemudian dimasukkan ke dalam buaian oleh datuk atau neneknya dan buaian diayun perlahan-lahan sambil marhaban diteruskan, katanya.

Wan Meram berkata sebelum majlis berakhir, tetamu dihidangkan dengan pulut kuning atau bubur kacang dan bunga telur dihadiah kepada semua yang mengambil bahagian pada majlis itu.

Bercanggah Agama?

Adat naik buai yang diamalkan masyarakat Melayu sebenarnya tidak terdapat di dalam ajaran Islam, mungkin menjadi antara punca ia tidak diamalkan pada masa kini.

Malah dikatakan amalan itu turut disertai dengan jampi serapah dan mantera berikutan masyarakat Melayu dahulu lebih terpengaruh dengan budaya dan ajaran agama lain.

Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Sumber Maklumat Jabatan Mufti negeri Melaka Nor Aminuddin Azis berkata adat berkenaan bagaimanapun kini diolah termasuk dengan pengisian doa dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW agar tidak menjadi suatu amalan yang khurafat selain memberi peringatan kepada tetamu yang hadir untuk mengingati kebesaran Allah.

"Pelaksanaan adat yang melibatkan unsur-unsur khurafat dan jampi serapah akan menjejaskan akidah umat Islam, malah lebih merisaukan lagi apabila adat-adat ini membawa kita keluar daripada Islam tanpa kita sedari." katanya.

Beliau berkata iringan nazam, berzanji atau qasidah ketika majlis berlangsung juga sebenarnya tidak perlu dilakukan kerana tidak diamalkan oleh Rasulullah.

"Tetapi jika terdapat iringan nazam, berzanji berkenaan, ia hendaklah diteliti akan susunan dan maksudnya kerana dikhuatiri terdapat unsur-unsur pemujaan sesuatu selain daripada Allah," jelasnya.

Katanya, umat Islam sebaik-baiknya menyempurnakan ibadat akikah iaitu menyembelih binatang ternakan yang dilakukan ketika mencukur rambut bayi yang lahir sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

"Tahnik, akikah, mencukur rambut dan memberi nama pada hari ketujuh kepada bayi yang dilahirkan adalah amalan sunnah, sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW kepada cucu-cucu baginda iaitu Hassan dan Husein," katanya.

Namun, katanya, sunnah mencukur rambut itu juga seringkali disalah erti masyarakat dengan menggunapakai istilah 'cukur jambul' hingga mengundang kekeliruan dalam perlaksanaannya apabila hanya sebahagian rambut bayi sahaja digunting.

Hakikatnya, amalan bercukur rambut bayi perlu dilakukan dengan mencukur keseluruhan rambut dan kemudiannya ditimbang dan dinilaikan dengan harga emas semasa sebelum wang itu disedekahkan kepada orang yang memerlukan atau fakir miskin, katanya.

Katanya penyediaan beberapa kelengkapan seperti kelapa muda, air tepung tawar, beras kunyit, bertih jagung dan bunga rampai juga terpesong daripada ajaran Islam.

Promosi Adat

Adat naik buai adalahan antara 154 butiran terdiri daripada tapak, objek ketara, objek tidak ketara dan tokoh orang hidup yang diisytiharkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (sekarang Kementerian Komunikasi dan Multidmedia) sebagai Warisan Kebangsaan Negara pada 10 Mei 2012.

Ia dikategorikan sebagai warisan adat dan budaya selain berlenggang perut, adat perpatih Negeri Sembilan dan Naning serta adat Temenggung bertujuan mengekalkan warisan dan budaya masyarakat negara ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Rodzuan Ismail mengakui adat naik buai semakin dilupai sedangkan ia dilakukan pasangan suami isteri bagi membolehkan si anak didendangkan dengan nazam dan lagu berunsurkan nasihat supaya membesar sebagai insan berguna kepada masyarakat.

Justeru, bagi memastikan kelangsungan adat naik buai, JKKN pada 14 Jun lepas meraikan seramai 30 bayi pada satu majlis naik buai dengan kerjasama penduduk Kampung Melaka Pindah di sini.

"Ini adalah program bagi mendekatkan masyarakat umum khususnya luar bandar dengan kegiatan seni budaya dan secara tidak langsung mempromosi kampung Melaka Pindah ini sebagai kampung warisan yang telah mendapat pengiktirafan dari Perbadanan Muzium negeri Melaka (PERZIM)," katanya.

Beliau berkata program itu juga mampu memberi pendedahan kepada golongan muda untuk meneruskan warisan nenek moyang daripada pupus ditelan zaman.

Selain itu, majlis yang akan diadakan secara tahunan di kampung berkenaan juga mampu menarik minat pelancong ke negeri Melaka untuk mengenali dan menyaksikan sendiri pelaksanaan adat naik buai.

Rai Anak Pertama

Bagi Mohd Attas Abdullah, 48, kelahiran putera sulungnya, Harith Hamzah, lima bulan sememangnya adalah saat paling bahagia dalam kehidupannya dan isteri.

Pasangan itu yang berkahwin tiga tahun lepas berasa teruja apabila dijemput menyertai majlis naik buai anjuran JKKN bagi meraikan anak sulung mereka bersama-sama pasangan lain.

"Adat naik buai ini menunjukkan kita bersyukur akan kurniaan dan kebesaran Allah yang mengurniakan cahaya mata kepada kita," katanya.

Satu lagi pasangan Azman Abd Ghani, 30an dan Zurina Osman, 30-an berkata menyertai majlis naik buai adalah peluang yang jarang diperoleh pada masa kini berikutan tidak ramai yang mengetahui mengenai adat berkenaan.

"Peluang seperti ini bukan semua orang dapat, majlis sebegini jarang dianjurkan lagi, apatah lagi diraikan bersama bayi lain," katanya.

Pasangan yang dikurniakan anak kembar lelaki, Azril dan Azrizil yang berusia dua bulan itu turut berharap majlis seumpama itu dapat diteruskan bagi memberi peluang kepada pasangan yang baru menimang cahaya mata untuk berkongsi kegembiraan mereka bersama masyarakat.

Azman berkata program berkenaan juga dapat mengekalkan adat dan tradisi masyarakat Melayu terdahulu supaya terus dipelihara bagi tatapan generasi akan datang.

"Kepentingan mengekalkan tradisi ini perlu diteruskan daripada semua peringkat untuk membawa maruah dan tatacara adat Melayu untuk dipersembahkan kepada masyarakat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain