RONA terang dan motif kotak-kotak adalah dua daripada pelbagai jangkaan trend fesyen 2022 yang diramalkan oleh Pinterest. Melalui Pinterest Predict, ia menyenaraikan trend yang bakal popular pada tahun hadapan selepas melakukan kaji selidik sejak Oktober 2019 hingga September 2021.ARTIKEL BERKAITAN: Menakjubkan! Dinobat kostum terbaik... Wakil Malaysia iring 7 Puteri Ulek Mayang di pentas global Secara umumnya, penampilan menonjol dan luar dari kotak dijangka akan digemari penggemar fesyen. Berikut adalah empat trend yang dijangka popular pada tahun hadapan. 1. Aksesori mutiara Pinterest menjangkakan aksesori mutiara akan kembali menjadi kegilaan penggemar fesyen terutamanya wanita. Ini dilihat daripada pencarian item itu yang meningkat naik sejak kebelakangan ini. Pencarian kata kunci rantai mutiara naik mendadak sebanyak tiga kali ganda. Tidak hanya dalam kalangan wanita, kaum lelaki juga semakin menggemari mutiara dan kata kunci rantai mutiara lelaki naik sehingga tujuh kali ganda. 2. Rona terang Pakaian dengan rona terang turut dijangka menjadi perhatian kerana ramai menganggap warna cerah dapat membuatkan mood bertambah ceria apatah lagi sudah dua tahun ramai bersedih disebabkan pandemik. Pencarian kata kunci mengenai pakaian warna terang meningkat sehingga 140 peratus selain carian mengenai pakaian berwarna pelangi, gaun fuschia, gaun ombre turut menunjukkan peningkatan hampir 10 kali ganda. 3. Gaya gothic Meskipun rona terang digemari ramai orang namun gaya gothic juga mendapat perhatian dan dijangka menjadi trend mainstream pada 2022. Tidak hanya pakaian kasual dan pakaian kanak-kanak, carian gaya gothic turut meliputi dekorasi kediaman, dapur dan aksesori rumah. Pencarian perkara berkaitan gothic naik sehingga 185 peratus yang mana fesyen meningkat 90 peratus, pakaian kanak-kanak (120 peratus) dan dekorasi 85 peratus. 4. Motif kotak-kotak Motif kotak-kotak sentiasa dianggap sebagai timeless dan sentiasa menjadi trend dari waktu ke waktu dan untuk tahun hadapan corak ala papan catur bakal menjadi kegilaan. Penggunaannya turut tidak terbatas kepada aksesori dan fesyen tetapi juga dalam dekorasi kediaman. Gaya ini juga dijangka menjadi kegilaan dalam kalangan lelaki daripada generasi milenial dan boomer. Data Pinterest turut menunjukkan kata kunci motif kotak-kotak meningkat sebanyak 160 peratus manakala motif papan catur naik kepada 95 peratus. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI