suria

“Dia main tendang pintulah...” - Percutian sekeluarga bertukar ngeri, hanya sempat tidur semalam... Rupa-rupanya hotel penginapan tersenarai lokasi seram di PD

Pengalaman menginap semalam di sebuah hotel yang seram sudah cukup buat Azlan sekeluarga untuk angkat kaki. - Gambar Sekadar Hiasan

KISAH seram yang dikait dengan hotel sering sangat kita dengar. Ia bukanlah perkara luar biasa.

Tambahan pula kalau kita menginap seorang diri, tentu saja macam-macam perasaan akan timbul.

Pengalaman gangguan di bilik hotel boleh menyebabkan percutian yang sepatutnya menjadi kenangan manis bertukar ngeri.

Perkara itulah yang berlaku kepada Azlan Nazeri ketika dia mengambil keputusan membawa isteri dan anak-anaknya bercuti ke Port Dickson, Negeri Sembilan tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupa-rupanya ramai dah terkena gerai berhantu di Parit-Manong... Mi goreng bertukar tanah liat dan berulat!

Meskipun pada awalnya Azlan bercadang membawa keluarga bercuti ke Pulau Langkawi namun disebabkan keadaan pandemik yang masih belum reda, dia mengambil keputusan untuk ke Port Dickson sahaja yang tidak jauh dari Lembah Klang.

"Pada awalnya tiada apa berlaku, anak-anak semua seronok memandangkan kedudukan hotel dekat dengan pantai, malah desiran ombak jelas kedengaran.

"Cuma rasa sedikit ralat apabila bilik kami menghadap jalan besar dan membelakangkan pemandangan pantai. Rasa kecewa juga," katanya memulakan bicara.



Sepanjang malam Azlan dan isteri diganggu dengan pintu bilik mereka digoncang selain tombol dipulas.

Cerita Azlan, pengalaman ngeri mereka sekeluarga bermula apabila isterinya tiba-tiba meluru masuk ke dalam bilik dari ruang tamu hotel dalam keadaan cemas.

Ketika itu kata Azlan, dia berada di dalam bilik menemani anak-anaknya yang sudah tidur manakala isterinya berada di ruang tamu leka mengemaskini gambar percutian mereka di laman sosial.

"Apabila saya tanya, dia kata tak ada apa-apa... Saya pun baring semula di antara anak-anak yang sedang tidur nyenyak.

"Ketika hendak lelapkan mata, saya terdengar bunyi dari atas seakan-akan bangku ditolak dan ditarik berulang kali tanpa henti. Saya dan isteri saling berpandangan. Sempat saya bisik kalau dengar bunyi pelik, jangan takut atau ditegur dan kami tidur," katanya.

Tidak lama selepas itu kata Azlan, pintu bilik air dalam bilik mereka tiba-tiba bergegar seolah-olah ada seseorang cuba membukanya dari dalam.

Gangguan itu berterusan sepanjang malam sehingga membuatkan kami berdua tidak boleh tidur.

AZLAN NAZERI

Azlan beritahu, dia lihat wajah isterinya dalam ketakutan dan dia beri isyarat agar pejamkan sahaja matanya.

Keadaan cemas itu kembali tenang walaupun bunyi kerusi ditarik dan ditolak jelas kedengaran sedangkan lantai bilik hotel itu dipasang permaidani di seluruh bilik.

"Terganggu juga dengan bunyi itu tapi saya buat tak tahu sahaja... kerana terlalu mengantuk saya terus tertidur.

"Saya rasa macam sekejap betul saya terlelap apabila saya terdengar sayup-sayup suara orang membaca al-Quran... apabila saya buka mata, saya lihat isteri memasang audio al-Quran melalui telefonnya," imbau Azlan.

Rupa-rupanya kata Azlan, isterinya masih belum melelapkan mata kerana berasa takut dan terganggu dengan pelbagai gangguan di bilik hotel mereka.



Azlan bersyukur kerana tiada penampakan pelik di bilik mereka.

Cerita isterinya, ketika dia dan anak-anak mereka nyenyak tidur, pintu bilik mereka ditendang berulang kali dan tidak cukup itu, tombolnya bergoncang seperti ada sesuatu cuba memasuki bilik mereka.

"Isteri cuba menjerit dan bergerak tetapi dia seperti kaku walaupun kami tidur di atas katil yang sama. Gangguan itu berterusan sepanjang malam sehingga membuatkan kami berdua tidak boleh tidur," katanya.

Bagaimanapun kata Azlan, dia bersyukur kerana gangguan itu sekadar bunyi-bunyi yang menyeramkan dan bukannya kemunculan sebarang kelibat menakutkan.

Percutian yang sepatutnya tiga hari dua malam disingkatkan dan mereka mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur keesokan paginya.

"Setibanya di rumah, isteri tunjuk saya nama hotel kami menginap dan ia ada dalam senarai hotel berhantu di dalam sebuah laman web. Tidak cukup dengan itu, ada juga kisah mirip dengan kejadian menimpa kami yang diceritakan dalam artikel tersebut," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain