suria

‘Kami Sedia Membantu’ jadi siulan, ada pula teringat mak kerja nurse - “Dah dua bulan tak jumpa umi”

Lagu Kami Sedia Membantu membuatkan ramai rasa bangga dan terharu dengan semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertungkus lumus membantu pesakit Covid-19. - Foto BERNAMA

SETIAP hari sebelum siaran langsung sidang media harian Covid-19 dikendalikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pasti akan berkumandang lagu berjudul 'Kami Sedia Membantu.'

Kemunculan lagu itu pada awal video siaran langsung sidang media itu membuatkan ramai daripada kita sudah menghafal liriknya selain ia petanda Dr Noor Hisham akan muncul memberikan perkembangan terkini wabak itu di Malaysia.

Bagi yang tidak tahu, lagu itu sebenarnya adalah lagu rasmi KKM yang digubah oleh komposer terkenal Fauzi Marzuki, manakala lirik ditulis Habsah Hassan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham Abdullah... Figura yang jadi sebutan kini, fakta ke-10 pasti kebanggaan diri dan keluarganya!

Suara lunak yang menyanyikan lagu itu pula milik penyanyi Allahyarham Datuk Nassier Wahab.

Setiap hari Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan memberi perkembangan terkini wabak Covid-19 di Malaysia. 

Lagu itu sebelum ini mungkin hanya dikenali dalam kalangan kakitangan KKM, namun ia kini boleh dikatakan setanding dengan lagu popular lain yang menjadi siulan anak muda.

Malah jumlah tontonan muzik video lirik lagu itu di YouTube juga semakin meningkat dan rata-rata memberitahu mereka mencari lagu itu selepas mendengarnya di video siaran langsung Facebook KKM.

Ramai yang melahirkan rasa bangga dan terharu setiap kali mendengar lagu 'Kami Sedia Membantu', malah menyifatkan liriknya cukup meninggalkan kesan kepada pendengar.

Malah ramai berasa tidak terkejut apabila mengetahui liriknya ditulis oleh Habsah yang memang terkenal dengan penghasilan lirik puitis dan menyentuh hati.

"Hari-hari tengok perkembangan Covid-19 di Facebook KKM. Rasa sebak pula dengar lagu ini, macam nak tabik hormat kepada semua barisan hadapan kita. Terima kasih staf KKM," tulis seorang pengguna YouTube.

Sebagai rakyat Malaysia kita terhutang budi dengan semua barisan hadapan yang bertungkus lumus membantu pesakit. 

Berlainan pula dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Diana, lagu itu membawa makna lain kepadanya apabila memberitahu setiap kali mendengarnya dia akan teringatkan ibunya.

Beritahu Diana, ibunya bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital dan sudah dua bulan dia tidak bertemu dengan ibu kesayangannya kerana sedang menyambung pelajaran.

"Saya dengar lagu tu sebab saya rindu mak saya. Umi bekerja sebagai jururawat. Dah dua bulan saya tak balik rumah sebab belajar jauh," katanya.

Manakala Helme Lassim pula memberitahu lagu itu membuatkan dia terimbau kenangan menyanyikannya beramai-ramai ketika menyertai Program Transformasi Minda (PTM) yang dianjurkan KKM di Tanjung Tualang, Perak pada 2015.

KAMI SEDIA MEMBANTU

BANGSA YANG SIHAT ASET NEGARA
KUALITI HIDUP DIPELIHARA
BERPASUKAN BERGANDING TANGAN
PERTINGKATKAN TARAF KESIHATAN

SECARA PROFESIONAL, KHIDMAT DIBERI
KECEMERLANGAN, MATLAMAT KAMI
DIMANA PUN JUA, DISETIAP WAKTU
KAMI SEDIA MEMBANTU

KAMI PENYAYANG PADA SEMUA
BAGI KAMI TIADA BEZA
BERTANGGUNGJAWAB AMALAN KITA
KESIHATAN DAN MARUAH DIJAGA

SECARA PROFESIONAL, KHIDMAT DIBERI
KECEMERLANGAN, MATLAMAT KAMI
DIMANA PUN JUA, DISETIAP WAKTU
KAMI SEDIA MEMBANTU

LAGU : Fauzi Marzuki
LIRIK : Habsah Hassan

Artikel Berkaitan

Artikel Lain