suria

'Makcik Travels' bukan sekadar hantar ke destinasi, tapi boleh jadi pengiring!

Makcik Travels bukan sahaja memberi perkhidmatan menghantar penumpang tetapi juga sebagai pengiring. Foto Facebook MAKCIK TRAVELS

WALAUPUN baharu berusia setahun jagung namun perkhidmatan teksi e-hailing, Makcik Travels yang memulakan operasi sejak November 2018 mampu memberi saingan kepada pengusaha sedia ada dalam pasaran.

Uniknya gandingan mantap ibu dan anak, Dr Sazlina Kamaralzaman dan Siti Sarah Anuar, menawarkan perkhidmatan e-hailing khusus untuk kaum wanita yang mahu berasa lebih selamat apabila menggunakan pengangkutan awam.

Bermula dengan 20 orang pemandu, Makcik Travels kini mempunyai lebih daripada 200 orang pemandu dan menerima tempahan sekitar 800 setiap bulan, bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga di Kedah, Perak dan Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Takut naik Grab? MakCik Travels pilihan selamat tawar teksi untuk wanita

Bagi memberi kelainan berbanding syarikat e-hailing yang lain, Makcik Travels memperkenalkan perkhidmatan pengiring pada April tahun ini untuk membantu warga emas dan wanita yang ketakdayaan yang mahu ke klinik, hospital atau tempat lain dengan bantuan pengiring.

Menjelang penghujung 2019, syarikat ini dijangka mempunyai 400 orang pemandu dan 200 orang pengiring di seluruh negara.

Sehingga kini Makcik Travels mempunyai 200 pemandu.

Menurut Dr Sazlina, 48, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, idea untuk menubuhkan Makcik Travels bermula apabila anak perempuannya, Siti Sarah, 20, yang belajar di Kolej Vokasional Kajang menawarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan untuk pelajar wanita yang menuntut sama di Kolej berkenaan, yang mahu ke destinasi berhampiran.

Melihatkan banyak permintaan, Sazlina kemudiannya berganding bahu dengan anak perempuannya untuk memperluaskan perkhidmatan kepada masyarakat setempat di Bangi, Selangor, di mana mereka tinggal.

"Kami menggunakan wang simpanan sebanyak RM10,000 sebagai modal dan mendaftarkan Makcik Travels," katanya kepada Bernama.

MakCik Travels menawarkan dua jenis perkhidmatan, iaitu MakCik Drives di mana pemandu mengambil penumpang dan menghantar ke destinasinya dan MakCik Chaperone di mana seorang pengiring akan ditugaskan untuk membantu penumpang yang memerlukan bantuan.

"Kebanyakan wanita mahu berasa selamat apabila mereka menaiki teksi atau kereta. Mereka lebih suka dan selesa dengan pemandu wanita. Kami dapat banyak permintaan untuk perkhidmatan pengiring, terutamanya dari wanita berusia yang memerlukan bantuan untuk ke klinik, hospital atau pusat dialisis," katanya.

Memandangkan MakCik Travels mahu memperkasakan wanita, ia menggalakkan suri rumah, ibu tunggal dan pelajar universiti yang mahu menjana pendapatan untuk diri sendiri, mendaftar sebagai pemandu serta pengiring syarikat ini.

Usaha Dr Sazlina turut mendapat pengiktirafan dari luar negara.

Ada pemandu yang turut mengambil peranan sebagai pengiring yang membolehkan mereka memperolehi pendapatan yang lebih.

Sementara itu, menurut Siti Sarah, mana-mana wanita yang mahu menjadi pemandu atau pengiring akan ditemu duga dan dinilai terlebih dahulu.

"Mereka yang mahu menjadi pemandu sudah tentunya perlu mempunyai lesen memandu dan kereta yang dijaga dengan baik, ini amat penting untuk perkhidmatan kami.

"Untuk mereka yang mahu berkhidmat sebagai pengiring, kami akan memberi latihan yang diperlukan memandangkan kebanyakan pelanggan kami yang memerlukan perkhidmatan ini adalah warga tua yang memerlukan bantuan," tambahnya.

Mereka yang bekerja sebagai pemandu dan pengiring MakCik Travels menerima kira-kira 80 peratus daripada bayaran yang dibuat oleh pemandu.

Untuk menempah pemandu atau pengiring menerusi MakCik Travels, tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya dua jam lebih awal sebelum waktu perkhidmatan diperlukan.

Kami menggunakan wang simpanan sebanyak RM10,000 sebagai modal dan mendaftarkan Makcik Travels.

DR SAZLINA KAMARALZAMAN

PENGASAS MAKCIK TRAVELS

Tempahan boleh dibuat melalui laman sesawang www.makciktravels.com atau WhatsApp atau panggilan telefon.

Menurut Dr Sazlina, syarikatnya merancang untuk meningkatkan perkhidmatan dengan membangunkan aplikasi mobile untuk memudahkan urusan tempahan serta sistem pengesanan untuk pemandu serta pengiring bagi tujuan keselamatan.

"Aplikasi itu kini hampir 80 peratus siap dan diharap boleh digunakan menjelang penghujung tahun ini. Pelanggan boleh mendapat harga untuk perkhidmatan yang diperlukan selepas maklumat penting pelanggan dimasukkan," katanya.

Norazah Salleh, 47, dari Shah Alam yang mendaftar diri sebagai pemandu MakCik Travels pada Ogos lepas berkata waktu kerja yang anjal amat bersesuaian untuk dirinya dan setakat ini, pendapatan adalah memuaskan.

"Saya menerima banyak permintaan untuk memandu pelanggan dari rumah mereka ke tempat kerja. Ada kalanya juga saya menerima tempahan daripada wanita yang mahu keluar pada waktu malam dan balik lewat. Saya bersyukur dapat membantu mereka," katanya yang memperoleh pendapatan RM200 sehari.

Anak perempuannya, Nur 'Amirah Kamaruddin, 23, yang memiliki ijazah dalam analisis kimia forensik dari Universiti Teknologi Mara, adalah antara pengiring MakCik Travels dan salah satu tugas beliau adalah untuk menjaga seorang wanita berusia.

Dr Sazlina berganding bahu dengan anaknya, Siti Sarah Anuar bagi memajukan Makcik Travels.

"Saya menemani wanita ini ke hospital kira-kira tiga kali seminggu dan setiap hari boleh mendapat RM80 untuk tugas tersebut," katanya.

Nur 'Amirah pernah mengikuti latihan penjagaan di Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia dan apa yang dipelajari banyak membantu tugas beliau sekarang.

Dr Sazlina berkata syarikatnya sedang berbincang dengan Institut Jantung Negara untuk menjalin kerjasama bagi menyediakan perkhidmatan peneman untuk pesakit warga tua.

"Kami fikir ini satu peluang baik dan berharap dapat melaksanakan kerjasama ini tidak lama lagi," katanya sambil menambah MakCik Travels juga sedang mengkaji untuk memperkenalkan skim insurans berkelompok bagi melindungi pemandu dan pengiringnya.

Makcik Travels

Artikel Lain