Lain dari yang lain... Calon temuduga tampil dengan tema ‘Gatsby’ - I-suke | mStar

Lain dari yang lain... Calon temuduga tampil dengan tema ‘Gatsby’

Pelbagai gaya mengikut tema Gatsby yang dipakai oleh calon yang menghadiri temuduga di Monopoly Mansion by Sirocco Kuala Lumpur baru-baru ini.

SESI temuduga kebiasaannya akan menuntut calon untuk berpakaian formal dalam menampilkan diri dalam keadaan terbaik selain resume yang cemerlang.

Namun lain pula halnya dengan sebuah hotel baharu di ibu negara iaitu Monopoly Mansion by Sirocco Kuala Lumpur apabila mereka meletakkan syarat setiap calon perlu tampil dengan tema 'Gatsby' ketika hadir ke sesi temuduga.

ARTIKEL BERKAITAN: Karya agung Leonardo da Vinci dipamer dalam bentuk digital, Balai Seni Negara catat sejarah terima kunjungan luar biasa!

Gaya barat era 1920-an itu nampaknya menarik minat calon-calon yang hadir ke temuduga itu apabila rata-rata tampil dengan tema tersebut bagi menarik minat pihak majikan.

Temuduga yang sedang berlangsung sejak 5 Ogos lalu telah menarik ratusan calon yang hadir dengan pelbagai gaya mengikut tema dalam memberi tanggapan terbaik kepada bakal majikan.

Calon-calon yang hadir cukup spontan demi memberi tanggapan terbaik buat bakal majikan. 

Keunikan temuduga itu juga telah menyebabkan ia tular di media sosial sekali gus menyebarkan mengenai proses pengambilan pekerja oleh hotel berkenaan yang bakal dibuka secara rasmi pada September ini.

Pengarah Pemasaran Komunikasi hotel berkenaan, Warren Fernandez berkata, idea itu diketengahkan bagi melambangkan ciri dan konsep Monopoly Mansion itu sendiri dan tidak menyangka ia berjaya menarik perhatian bukan sahaja bakal pekerja tetapi orang ramai.

Kata Warren, mereka ingin mencari kakitangan yang unik, serba boleh, warna-warni dan atas sebab itu juga pihaknya menggalakkan calon hadir dengan tema Gatsby tersebut.

"Jujurnya pihak kami memang langsung tidak menyangka temuduga ini akan tular di media sosial kerana pihak hotel tidak mengiklankan pengambilan itu di akhbar sebaliknya hanya menggunakan medium media sosial.

Calon ketika ditemuduga oleh pihak hotel.

"Tetapi idea itu nampaknya membuahkan hasil positif selain calon yang hadir juga cukup 'sporting' dan tampil dengan pelbagai gaya unik.

"Dari situ pihak pengurusan dapat mengenal pasti sama ada calon seorang yang bersungguh-sungguh untuk dipilih sebagai pekerja selain melihat kepada faktor lain," katanya.

Tidak cukup dengan itu, setiap calon yang hadir juga berpeluang merebut gelaran Pakaian Terbaik dan memenangi hadiah penginapan di hotel berkenaan.

Bagi Muhamad Shahmi Shahaizi, 22, memberitahu tema yang ditetapkan oleh hotel berkenaan telah mendorongnya untuk menghadiri temuduga.

Ini kerana katanya, dengan cara itu dia dapat membina keyakinan dirinya tambahan pula jarang berpakaian demikian dan peluang itu diambil untuk bergaya.

Masing-masing tampil dengan gaya tersendiri.

"Konsep yang diperkenalkan memang unik, inilah masanya untuk tampil segak bergaya dengan tema Gatsby dan mana tahu berkat kesungguhan itu ada rezeki diterima bekerja," katanya.

Berlainan pula dengan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam Muhammad Iskandar Ramlan, 22, dia sanggup meminjam pakaian daripada rakannya semata-mata untuk hadir ke temuduga itu.

Malah dia juga memberitahu kot dan tongkat yang melengkapkan gayanya juga milik bapanya.

Temuduga itu menawarkan jawatan pegawai jualan dan pemasaran, makanan dan minuman (F&B), kejuruteraan, sumber manusia, kawalan dan keselamatan, kewangan, eksekutif pejabat dan bidang perkemasan (housekeeping).

Temuduga sesi kedua bakal berlangsung bermula 19 hingga 23 Ogos ini bermula 10 pagi hingga 4 petang.

Gatsby , Temuduga , Monopoly Mansion

Artikel Berkaitan

Artikel Lain