suria

Pernah dengar buah rokam? Kenali 10 buah-buahan ‘rare’ yang ada di Malaysia

Antara buah-buahan tempatan yang kini sukar dicari. Foto AZMAN GHANI

DIANGGARKAN terdapat lebih dari 100 spesis buah-buahan di Malaysia manakala 70 daripadanya dikategorikan sebagai jarang ditemui atau rare.

Ada antara buah-buahan tersebut mudah didapati di kampung, hutan mahupun halaman rumah suatu ketika dahulu namun kini kebanyakannya sudah sukar dicari.

Lebih malang, generasi muda sudah tidak mengenali buah-buahan ini apatah lagi mengetahui rasanya. Star2 menyenaraikan 10 buah-buahan yang kini termasuk dalam kategori rare!

1. Mentega

Berasal dari Filipina, pokok mentega atau dikenali sebagai mabolo atau selarat - ia sangat jarang ditanam di Malaysia kecuali sebagai pokok penyangga.

Terdapat dua jenis buah dihasilkan pokok ini; berwarna coklat dan merah yang mempunyai rasa manis, berbau harum dan boleh dimakan segar.

2. Melinjau

Buah ini popular di negeri pantai timur Malaysia terutamanya Terengganu. Buah berbentuk bujur ini berwarna hijau sebelum bertukar kekuningan dan kemudian bertukar merah gelap yang menandakan ia sudah ranum.

Menurut penulis buku Buah-Buahan Nadir Semenanjung Malaysia iaitu Ruqayah Aman, pokoknya mempunyai daun yang lebat selain buahnya dimakan selepas ia direbus terlebih dahulu.

Biji dan buahnya juga sering dijadikan kerepek yang sangat popular di Indonesia.

3. Telur kuning

Juga dikenali sebagai kanistel, telur kuning berasal dari Amerika Tengah namun jarang ditanam di Semenanjung Malaysia.

Buahnya mempunyai tekstur berserat selain mempunyai rasa yang manis.

4. Bacang

Bacang adalah adik-beradik buah mangga dan banyak ditanam di selatan tanah air. Apabila masak, Bacang mempunyai bau yang kuat dan biasanya ia dijadikan sebagai jeruk atau dicampur dalam sambal.

5. Nam nam

Pokok ini pada awalnya ditanam di Borneo sebelum dibawa ke Indonesia dan menjelajah ke Melak dan Pulau Pinang.

Ia boleh tumbuh meliar namun agak sukar dicari. Di pantai timur, ia dipanggil buah katak puru kerana luarannya yang menyerupai haiwan itu.

Rasanya yang masam biasanya sesuai dijadikan hidangan sampingan bersama kuah rojak.

6. Sentul

Sentul banyak ditanam di kepulauan Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Menurut Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Abdul Aziz Zakaria, Pasar Sentul di Kuala Lumpur dinamakan sempena buah tersebut kerana terdapat sebatang pokok sentul tumbuh di kawasan itu.

Di Kelantan, buah sentul ini biasanya digunakan sebagai ulam atau pun membuat acar.

7. Salak

Ada juga yang memanggil ia sebagai buah kulit ular dan menariknya Salak Selatan di Kuala Lumpur juga dinamakan sempena buah ini.

Ia biasanya tumbuh liar dalam hutan dan menjadi makanan oleh masyarakat Orang Asli terutamanya di Terengganu.

Rasanya yang kelat dan manis - dan banyak juga dijadikan sebagai jeruk.

8. Mundu

Buahnya sangat masam seperti asam jawa dan perlu menambah perasa seperti garam dan gula untuk memakannya.

9. Ceri Terengganu

Rasanya manis namun tidak seperti ceri biasa. Paling menarik ia berbuah sepanjang tahun dan menjadi kegemaran burung.

10. Rokam manis

Juga dikenali sebagai kerkup, rokam manis bukan sahaja boleh didapati di Malaysia tetapi banyak negara lain kerana haiwan dan burung gemar akan buah ini dan menyebarkan benihnya.

Ia boleh tumbuh segar di dalam hutan serta halaman rumah selain ia mempunyai rasa yang manis.

Artikel Lain