Transformasi menarik... Rumah teres usang ini bertukar vila mewah lengkap dua kolam renang! - I-suke | mStar

Transformasi menarik... Rumah teres usang ini bertukar vila mewah lengkap dua kolam renang!

Rumah usang ini bertukar wajah selain lengkap dengan dua buah kolam renang. Foto Facebook CASA LEESA

SIAPA sangka rumah usang dan terbiar tanpa berpenghuni ini mampu menjadi sebuah vila siap dengan dua kolam renang peribadi!

Pemiliknya Nur Natasha Abdullah, 31, memberitahu pada mata kasar rumah teres setingkat itu mungkin nampak seperti tiada nilai, namun ketika kali pertama melihatnya dia sudah membayangkan 'masa hadapan' kediaman itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pink di sana sini, rumah pusaka usang kini umpama istana fantasi Hello Kitty

"Saya beli rumah tersebut daripada ejen selepas pemiliknya tidak lagi tinggal di situ dan akhirnya terbiar.

Pemandangan bilik utama yang menghadap kolam renang utama di halaman rumah. 

"Saya nampak potensinya jika kerja ubah suai dibuat dengan betul namun harus saya akui proses itu lebih 'sakit' berbanding membina sebuah rumah baru.

"Tapi Alhamdulillah apa yang saya bayangkan semuanya direalisasikan dengan baik," katanya kepada mStar.

Cerita Natasha, dia tertarik dengan rumah itu kerana keluasannya membolehkan dia meneruskan ideanya untuk membina kolam renang di setiap bilik rumah tersebut.

Siapa sangka rumah usang ini boleh bertukar menjadi sebuah kediaman yang indah dan selesa.

"Saya memang suka melancong dan menginap di Vila atau hotel yang mempunyai kolam renang peribadi dan dari situ timbul idea itu.

"Saya nak semua bilik dalam rumah itu ada pool view, bila buka pintu sliding terus nampak kolam dan Alhamdulillah keluasan rumah itu membolehkan saya bina kolam renang seperti diimpikan," jelasnya.

Natasha memberitahu kerja ubah suai kediaman yang terletak di Kuatan, Pahang itu mengambil masa tujuh bulan termasuk membina dua kolam renang di hadapan dan belakang rumah dengan kos sebanyak RM115,000.

Ruang tamu dan ruang makan dihias berkonsepkan minimalis dan industrial.

"Kos itu juga termasuk kolam renang, kelengkapan rumah seperti perabot, langsir, kipas, penghawa dingin dan sebagainya," jelasnya.

Kolam renang bukan satu-satunya perhatian pegawai farmasi ini, malahan hiasan dalaman rumah dua bilik serta dua bilik air itu turut diberikan perhatian.

Bilik utamanya bukan sahaja mempunyai pemandangan kolam renang tetapi juga sebuah bilik air bersaiz full lengkap dengan tab mandi.

Kolam renang kedua yang dibina dibelakang rumah. 

Manakala ruang tamu dan ruang makan menampilkan konsep minimalis dan industrial dengan pemilihan perabot dari rona tanah serta penggunaan lantai kayu yang menaikkan lagi dekorasi kediaman itu.

Semuanya hasil idea Natasha sendiri serta rujukan daripada Pinterest dan majalah berkaitan dekorasi.

Kelengkapan dan keindahan kediaman itu bukan sahaja untuk Natasha sekeluarga sebaliknya dia menjadikan rumah itu sebagai Homestay yang diberi nama Casa Leesa.

Bilik air utama yang diubah suai dengan reka bentuk mewah seperti hotel. 

Keputusan membuka rumah itu kepada orang lain kerana ingin memberi peluang kepada keluarga merasai menginap di vila dengan kolam renang dengan harga berpatutan.

"Harga satu bilik dengan private pool biasanya melebihi RM600 ke atas. Jadi homestay ini bukan saya sahaja boleh tinggal tetapi nak beri peluang kepada orang lain merasai pengalaman itu bersama keluarga masing-masing dengan harga berpatutan," ujarnya.

Casa Leesa , Dekorasi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut