suria

Limpahan warna merah jambu di segenap bilik mandi! Kenapa tidak?

Bilik air ini tampak elegan dengan permainan warna merah jambu. - Gambar Megan Taylor

BUKAN semua orang berani bereksperimentasi dengan warna merah jambu semata-mata untuk dekorasi ruang paling privasi di setiap kediaman, tentu sekali bilik mandi.

Tapi, anda mungkin berubah fikiran selepas melihat gambar yang mendapat sentuhan dua pereka ini.

Studio rekaan dalaman Studio 2LG di London, United Kingdom mereka bentuk bilik mandi menjadi kontemporari ketika mengubah suai sebuah rumah lama.

Jom kita tengok perinciannya.

Jordan Cluroe dan Russell Whitehead berpindah ke rumah rekaan Victoria itu pada awal 2015.

Rumah yang dipanggil Perry Rise itu juga merupakan ruang kerja mereka berdua.

"Cabarannya adalah untuk mengubah suai rumah secara teliti dan mencipta ruang yang lebih mudah untuk membolehkan kami mengekspresikan diri dan mempamerkan perspektif reka bentuk kami," kata mereka melalui blog 2LG Studio.


Russel berkata, bilik air tersebut perlu memenuhi impian Jordan yang mementingkan kesempurnaan mandian yang santai dan keinginan dirinya untuk memiliki ruang pancuran yang besar.

Rekaan bilik air tersebut tampak begitu mewah walaupun pada hakikatnya saiz ruang bilik itu kecil.

Mandian Amiata oleh Victoria dan Albert Baths memberikan aura Itali era 1980-an kepada bilik air tersebut.

Kedudukannya di bawah tingkap dan disirami cahaya matahari menyerlahkan lagi susun atur ruang mandi itu.

Penggunaan jubin besar dengan rona merah jambu Victoria mencipta pemandangan semula jadi dan redup mata memandang.

Kedua-dua pereka itu mahu mengekalkan konsep vintage kepada rumah lama tersebut, tetapi pada masa sama mahu menyuntik nilai estetika kontemporari yang sebati dengan jiwa mereka.  

Dekorasi ini membuktikan bahawa merah jambu yang sinonim dengan warna feminin mampu menjadikan sesebuah ruang itu tampak elegan, biarpun ia hanya kamar mandi. 

Jadi, apa tunggu lagi? Walau apapun warna pilihan anda; susun atur, rekaan aksesori dan pencahayaan yang mencukupi boleh mengubah satu ruang menjadi sudut yang mempesonakan. - Harpes Bazaar

bilik air, dekorasi, Studio 2LG

Artikel Lain