suria

Aplikasi jejak hantu ditawar secara percuma, betul ke boleh bercakap dengan si mati guna telefon?

Wujud aplikasi yang didakwa mampu mengesan serta menjejak kehadiran entiti misteri di sekeliling anda.

KISAH seram melibatkan hantu seperti pocong, pontianak, penanggal dan toyol sememangnya sinonim dengan masyarakat kita sejak sekian lama.

Dalam dunia moden hari ini, ramai pembangun teknologi tampil dengan aplikasi-aplikasi baharu secara percuma mahupun berbayar yang didakwa mampu mengesan serta menjejaki kehadiran entiti misteri di sekeliling anda.

Kali ini, mStar senaraikan lima aplikasi yang wujud dan boleh dimuat turun menerusi peranti Android mahupun Apple, termasuklah untuk pengguna dalam Malaysia.

Ghostcom Radar Spirit Detector

Aplikasi yang pertama ini dibangunkan oleh Michael Vokes dan boleh dipasang secara percuma untuk pengguna Android dan Apple.

hantu3

Ada aplikasi yang mendakwa mampu mengesan kehadiran entiti dalam kawasan gelap ketika waktu malam.

Apa yang menarik, aplikasi ini bukan sahaja dikatakan mampu mengesan kehadiran hantu, malah membolehkan anda berkomunikasi dengan makhluk tersebut menerusi fungsi mesej yang ditawarkan.

Antara fungsi lain, ia turut memaparkan tahap emosi hantu, tanda zodiak, jantina sebenar serta lokasi dan jarak kehadiran mereka.

Ghost Detector Radar Camera

Cari hantu dan berkomunikasi dengan mereka. Begitulah misi yang cuba dibawa oleh pembangun aplikasi itu - First Calss Media B.V.

Dakwa pembangun aplikasi itu lagi, mereka menawarkan pengalaman ultra-realistik dengan fungsi yang ditawarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas meremang guna komputer depan ‘bilik keras’, doktor menyesal tanya nurse pengalaman jumpa hantu! Seram kisah ‘uri dan bunyi mengunyah’

Cara penggunaan mudah sahaja. Selepas anda aktifkan aplikasi itu, anda boleh berjalan di sekitar kediaman untuk mengesan kehadiran entiti misteri.

Namun kata pembangun aplikasi itu, teknologi berkenaan tidak dapat dibuktikan secara saintifik memandangkan tiada penjelasan tepat mengenai kewujudan hantu sehingga ke hari ini.

GhostTube SLS

Aplikasi GhostTube SLS menggunakan teknologi telefon anda untuk mengesan "badan humanoid" dalam persekitaran anda dengan menayangkan grid cahaya inframerah.

Jika anda menggunakan telefon model baharu dengan teknologi terkini, ia juga akan memberikan anda keupayaan penglihatan malam (night vision).

hantu4

Antara aplikasi yang boleh dimuat turun dan tersedia untuk pengguna di Malaysia.

Aplikasi ini dibangunkan oleh GhostTube Pty Ltd dan boleh dipasang secara percuma menerusi Apple Store dan Google Playstore.

Paranormal Hauntings

Aplikasi yang dibangunkan oleh pemburu paranormal terkenal, Brian Holloway. Paranormal Hauntings merupakan satu lagi aplikasi yang menawarkan hasil masa nyata berdasarkan kehadiran roh di sekeliling.

Ditawarkan menerusi Playstore sejak 2019, aplikasi ini telah dikemas kini baru-baru ini dengan ciri baharu.

Sorotan utama aplikasi Paranormal Hauntings ialah aplikasi ITC audio songsang baharunya yang menampilkan 10 bank audio terbalik dengan dua bank ambien.

Selain itu, ia juga membolehkan pengguna bertukar antara julat frekuensi yang berbeza antara nyanyian Nordic dan Sinister purba.

Akhir sekali, aplikasi ini juga mempunyai ciri khas untuk mereka yang suka menambah gema semasa menjalankan sesi pencarian mereka.

Ghost Hunting Tools

Dengan lebih 1 juta muat turun, aplikasi berbayar Ghost Hunting Tools menawarkan teknologi yang didakwa membolehkan pengguna bercakap dengan orang mati.

hantu2

Sukar untuk membayangkan sekiranya aplikasi-aplikasi tersebut benar-benar mampu mengesan kehadiran hantu.

Aplikasi ini dilengkapi dengan meter EMF dan pengesan EVP untuk memburu hantu dan roh.

Selain daripada memasukkan pelbagai meter, Ghost Hunting Tools juga menyertakan kamus perkataan, membolehkan anda menjangkakan respons oleh roh.

Fungsi Fenomena Suara Elektronik pantas juga berupaya menangkap rungutan, perkataan, atau ayat mudah semasa sesi rakaman.

Sebagai peringatan, kejadian mistik sering kali mengundang rasa takut dalam kalangan orang kita. Namun sebagai umat Islam, kita dilarang untuk mendekati sebarang amalan khurafat dan syirik, sebaliknya perlu sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama yang sebenar.

Artikel Lain