suria

Kabin bergerak pengurusan jenazah banyak bantu golongan memerlukan, paling penting dapat jaga aib si mati

Kabin pengurusan jenazah Amal Team dilengkapi dengan tempat memandikan, mengkafan serta solat jenazah.

SUDAH enam tahun Pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol terlibat dalam menguruskan jenazah termasuk mayat yang tidak dituntut.

Sepanjang tempoh itu juga banyak pengalaman dikutip Mohd Zulhairi yang memberikan keinsafan serta mengingatkan dirinya tentang kematian.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sahaja menyelamatkan nyawa, ada 5 manfaat derma darah kepada penderma

Malah pengalaman itu turut memberinya pelbagai idea dalam memudahkan proses pengurusan jenazah yang merupakan fardu kifayah ke atas umat Islam.

Mohd Zulhairi memberitahu dia bersama pasukannya di Amal Team berjaya menghasilkan sebuah kabin pengurusan jenazah bergerak bagi membantu golongan memerlukan apabila berlaku kematian.

Ini termasuklah bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan flat dan apartment yang kebanyakannya tidak mempunyai tempat khusus pengurusan jenazah selain masjid atau surau yang jauh.



Amal Team kini mempunyai dua buah kabin pengurusan jenazah untuk kegunaan di sekitar Lembah Klang.

"Idea untuk tampil dengan kabin bergerak ini kerana kami ada terima banyak panggilan meminta bantuan menguruskan jenazah di kawasan yang jauh dengan masjid atau pun hospital selain mereka yang tinggal di flat.

"Apatah lagi ada antara mereka yang tidak berkemampuan, jadi saya fikir mudah sekiranya ada sebuah tempat pengurusan jenazah bergerak yang lengkap dengan pelbagai kemudahan," katanya kepada mStar.

Bercerita mengenai projek itu, Mohd Zulhairi memberitahu perkhidmatan itu telah bermula sejak setahun lalu dan kini pihaknya mempunyai dua buah kabin untuk memenuhi permintaan di sekitar Lembah Klang.

Kabin itu, jelas Mohd Zulhairi mempunyai pelbagai kemudahan termasuk tempat memandikan jenazah, meja kafan termasuk ruang solat jenazah.

Malah ia turut dilengkapi dengan tangki air bersih, pam air, tangki septik simpanan air terpakai, sistem elektrik, penghawa dingin, meja kafan dan sebagainya.

Paling penting, keluarga juga dapat menjaga dan menutup aib si mati daripada pandangan orang luar.

MOHD ZULHAIRI



PENGASAS DAN PENGERUSI AMAL TEAM

"Dalam satu-satu masa, kabin itu boleh memuatkan 10 ke 12 orang dan kelengkapan kemudahan itu dapat memberi peluang kepada waris menguruskan sendiri jenazah dengan bantuan pakar dalam keadaan selesa dan tenang.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Paling penting, keluarga juga dapat menjaga dan menutup aib si mati daripada pandangan orang luar," jelasnya.

Kabin itu kata Mohd Zuhairi dibina atas lori tiga tan yang panjangnya berukuran 19 kaki dengan kelebaran 10 kaki dan tinggi sembilan kaki. Kedua-dua kos kabin itu menelan belanja sekitar RM200,000 hasil sumbangan orang ramai.

Sehingga kini kabin itu telah digunakan untuk menguruskan 60 kes kematian di Lembah Klang.



Selain kabin, pihaknya juga turut menyediakan perkhidmatan ambulans percuma.

Perkhidmatan itu katanya tidak mengenakan sebarang caj bayaran kepada golongan susah dan memerlukan namun bagi yang berkemampuan pihaknya menerima sumbangan ikhlas yang akan digunakan untuk pengurusan jenazah yang lain.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zuhairi memberitahu ketika ini Amal Team mempunyai lebih daripada 30 sukarelawan bagi membantu proses pengurusan jenazah.

Selain pengurusan jenazah, Amal Team turut menyediakan perkhidmatan ambulan percuma selain makanan percuma untuk golongan asnaf berdaftar yang disediakan di sebuah restoran milik NGO itu di Seksyen 7 Bangi, Selangor.

"Alhamdulillah ada penyumbang yang mendermakan wang tunai dan bahan mentah untuk memasak dan disumbangkan kepada golongan memerlukan.

"Di kedai sama juga kami ada sediakan food bank selain membantu menjaga warga emas dan ibu tunggal yang dalam kesempitan," jelasnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain