suria

Tahukah anda... Ditinggalkan bersendirian, ekor dipegang dan tangisan bayi antara 10 perkara dibenci kucing

Kucing tidak suka ditinggalkan bersendirian kerana ia boleh membuatkannya berasa tertekan.

MENUNJUKKAN rasa sayang kepada si bulus seperti memeluk, mencium dan mendukungnya adalah perkara biasa bagi pemilik kucing.

Bagaimanapun kasih sayang yang ditunjukkan boleh ditafsirkan sebagai perkara berbeza oleh kucing. Malah ada beberapa perbuatan kita sebenarnya boleh membuatkan si bulus berasa marah dan jengkel.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab kenapa kucing takut timun... tapi jangan pula anggap ia lucu!

Pakar dalam perilaku kucing menjelaskan terdapat pelbagai perkara yang boleh mengganggu mood kucing termasuklah;

1. Kehadiran bayi

Perubahan besar dalam hidup kucing seperti berpindah rumah atau menyambut kehadiran bayi dapat membuatkan kucing berada dalam keadaan tertekan.

Bagi mengelakkan si bulus berasa tertekan dengan suara bayi menangis, pemilik disarankan untuk memasang suara bayi di dalam rumah sebelum bersalin agar ia terbiasa.

Pastikan juga pemilik meluangkan masa bermain dengan mereka sebelum ada bayi lain akan menggantikan tempatnya.

2. Perubahan kecil, kesan besar

Perubahan kecil seperti memindahkan tempat buang air, mengubah kotak makanan serta mengalihkan tempat tidurnya memberi kesan kepada kucing. Ia boleh membuatkan kucing melarikan diri dan sebab itu adakalanya mereka menyorok di bawah kerusi atau di celah almari.

Apatah lagi jika pemilik berpindah rumah, ia memberi kesan lebih besar kepada emosinya. Jadi sebaik-baiknya, jika ingin mengubah kedudukan barang miliknya, lakukan secara berperingkat agar ia dapat membiasakan diri.

3. Kebosanan

Rutin yang sama boleh membuatkan kucing rasa bosan dan tertekan. Jadi untuk mengambil hatinya, belikan mainan baharu agar dapat membantu fikirannya lebih tenang dan gembira.

4. Aroma menyengat

Kucing mempunyai deria bau yang tajam sehinggakan aroma kuat seperti minyak wangi atau masakan boleh membuatkan ia berasa tidak senang.

Biasanya ia akan melarikan diri bagi menenangkan diri. Jadi jangan kecil hati jika anda sudah pakai minyak wangi, tapi si bulus enggan mendekati anda.

Tapi ada bau yang cukup digemarinya seperti catnip, lavendar dan buah anggur.

5. Kostum

Ramai yang gemar memakaikan kostum kepada kucing peliharaan mereka kerana ia nampak comel. Tetapi hakikatnya, kucing tidak gemar memakai pakaian dan sebab itu juga ia sering melarikan diri atau membuat muka monyok apabila dipakaikan kostum.

6. Membelai perutnya

Kebanyakan kucing tidak suka perut mereka dipegang dan kebiasaannya si bulus akan mencakar atau melarikan diri ketika kita cuba memegang perutnya.

Bagaimanapun setiap kucing ada tarikan berbeza termasuklah ada yang suka perut mereka dibelai.

7. Berinteraksi dengan orang tak dikenali

Perhatikan reaksi kucing anda ketika seseorang tidak dikenali mendekatinya. Biasanya, ia akan melarikan diri atau tidak memberi respons apabila badannya diusap.

Reaksi itu sebenarnya menunjukkan ia tidak selesa dengan orang yang tidak dikenalinya.

8. Ekornya dipegang

Kucing tidak suka ekornya dipegang atau ditarik kerana ia adalah bahagian sensitif. Bagaimanapun ia cukup suka jika bahagian leher atau badannya dibelai.

9. Bersendirian

Seperti manusia, kucing juga boleh berasa sunyi dan bosan apabila ditinggalkan sendirian di rumah. Sebaik-baiknya, jika ia terpaksa ditinggalkan, sediakan makanan kegemaran atau permainan berkonsepkan penyelesaian masalah seperti puzzle bagi membolehkan ia fokus dan tidak memikirkan tentang rasa sunyi.

10. Makanan lama

Biasanya kita akan meletakkan semangkuk makanan kucing ketika keluar bekerja namun apabila pulang ia seolah-olah tidak berusik dan si bulus hanya makan dalam jumlah kecil.

Sebenarnya, kucing tidak suka makanan yang terbiar lama dan sebaik-baiknya sediakan beberapa mangkuk dan isi makanannya dalam jumlah kecil.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain