suria

Johan Ghazali mahu ambil lesen selepas sambut birthday, kongsi kisah ‘aiskrim’ sejurus menang kontrak ONE Championship

Johan mengikat kontrak dengan ONE Championship selepas menewaskan pencabar dari Rusia dalam perlawanan pada Jumaat.

BINTANG Muay Thai, Johan Ghazali atau Jojo menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila dia berjaya mendapatkan kontrak daripada ONE Championship bernilai AS$100,000 (RM472,749).

Kejayaan petinju muda berdarah campuran Malaysia - Amerika Syarikat (AS) itu diraih selepas dia menundukkan lawannya dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam ONE Friday Fights 36 di Bangkok, Thailand pada Jumaat.

Ketika dihubungi mStar, Johan, 17, berkata dia bersyukur dengan sokongan padu rakyat Malaysia sejak awal pembabitannya dalam sukan Muay Thai, sekali gus meniup semangat untuknya terus mengorak langkah lebih jauh pada masa depan.

jojo6

Johan (kiri) bersama keluarganya yang turut aktif dalam sukan Muay Thai.

"Saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan kejayaan saya. Selain itu, ramai juga artis Malaysia yang doakan kejayaan saya. Saya mahu terus beri inspirasi kepada orang ramai dalam mengejar impian mereka.

"Selain sokongan orang ramai, saya juga sentiasa menerima sokongan daripada keluarga serta training partner saya. Mereka nampak banyak pengorbanan serta kerja keras yang saya lakukan," ujarnya.

Tambah Johan, pengikut di media sosial miliknya turut bertambah sejak dia melakar kejayaan terbaharu di Bangkok, baru-baru ini.

jojo4

Pengikut media sosial Johan semakin bertambah.

Setakat ini, Johan mempunyai lebih 123,000 pengikut di laman Instagram dan 305,000 pengikut di aplikasi TikTok.

"Di Instagram, pengikut saya naik dalam 30,000 manakala di TikTok pula naik dalam 80,000 ke 90,000 sejak seminggu lalu. Bukan sekadar pengikut Malaysia, tapi ada juga dari Indonesia, Thailand dan Indonesia.

"Sekarang apabila keluar jalan-jalan, orang akan ucap tahniah dan minta nak ambil gambar. Memang seronok tapi tekanan juga makin tinggi sebab nak kena jaga imej. Tapi saya bersyukur dengan semua ini," ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas, si comel garang di gelanggang! Fighter Muay Thai raih hadiah lumayan di Thailand, lawan rebah dalam 16 saat

ARTIKEL BERKAITAN: 2 petinju wanita bertumbuk ketika sidang media, pengawal keselamatan terpaksa masuk campur

Menurut Johan, dia banyak berkorban sepanjang tiga bulan menjelang pertandingan itu dan banyak makanan kegemarannya terpaksa dilupakan buat seketika.

Sejurus tamat perlawanan berkenaan, Johan berkata dia terus membeli aiskrim Oreo McFlurry daripada restoran McDonald's di Bangkok untuk melepaskan keinginannya yang terpendam lama.

"Sepanjang tiga bulan persiapan, banyak pengorbanan terpaksa dilakukan. Hidup saya hanyalah training, tidur dan makan. Begitulah rutinnya. Makan pun kena jaga, nak makan sedap-sedap memang tak boleh.

jojo5

Johan merancang untuk mendapatkan lesen memandu tidak lama lagi.

"Selepas tamat perlawanan, saya terus cari Oreo McFlurry di McDonald's. Tapi saya gembira pengorbanan ini terbalas. Saya juga yakin dalam 70 ke 80 peratus akan menang sebab saya dah study opponent dan buat latihan keras.

"Bila dapat kontrak itu, memang saya gembira. Sejak awal masuk bidang ini, memang itulah impian saya. Gembira dan berpuas hati," ujar Johan yang baru kembali ke tanah air pada Ahad.

Mengenai perkembangan terbaharu, Johan merancang untuk mengambil lesen memandu selepas ulang tahun kelahirannya pada 14 November depan.

jojo3

Johan mempunyai darah campuran Malaysia - Amerika Syarikat.

"Saya belum ada lesen memandu. Selepas sambutan hari lahir pada 14 November, saya nak ambil lesen kereta. Saya pandai bawa kereta, cuma belum ada lesen lagi," ujarnya.

Untuk rekod, Johan pernah mendapat liputan mStar menerusi ruangan Figura pada 17 Mei lalu.

Dalam temu bual bersama mStar ketika itu, Johan yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata seluruh ahli keluarganya terlibat dalam sukan Muay Thai, termasuk ibu bapanya, Zulfikar Mohd Ghazali, 47, dan Jennana Johnson, 45.

jojo8

Tidak pernah puas, Johan mengimpikan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Saya bermula pada umur 10 tahun, ketika darjah empat. Saya boleh masuk dalam sukan ini pun sebab mak ayah saya juga fighter dulu. Mereka tak paksa, tapi mereka alu-alukan saya jadi fighter. Bila dah cuba, saya mula minat.

"Selain mak ayah, kami empat beradik pun fighter juga. Saya ingat lagi masa awal-awal dulu, saya sertai sekadar untuk bersenam saja. Lepas tu coach tawarkan untuk berlawan. Jadi saya pun cuba. Tak sangka saya menang perlawanan pertama.

"Sejak detik itu, saya berikan komitmen 100 peratus. Tak pernah lagi saya rasa nak putus asa. Saya rasa inilah sukan yang saya idam-idamkan sampai sekarang," ujarnya yang berpindah ke Sarawak sejak berumur 15 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain