suria

“Saya tak tiru dia, semula jadi sama” - Rahul Khan akui ada persamaan dengan Shah Rukh Khan, selalu hiburkan lebih 1 juta followers

Rahul mengakui memiliki wajah hampir sama dengan aktor Bollywood Shah Rukh Khan.

SEKALI pandang, wajah dan penampilan lelaki ini memang boleh membuatkan ramai keliru.

Bagi yang sering melayari aplikasi TikTok, pasti terlintas di For You Page (fyp) video-video lelaki ini meniru lagak dan mimik wajah artis terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan.

Perkongsian kandungan (content) dibuat pelayar berasal dari Aceh, Indonesia ini seperti nyanyian dan lakonan berdurasi pendek cukup menghiburkan sesiapa yang melihatnya termasuklah netizen di Malaysia.

Ketika dihubungi mStar, Teuku Hasnawi, 29, menceritakan bagaimana kehidupan selepas dirinya tular dan terkenal dengan nama Rahul Khan sehingga berjaya mengumpul lebih 1.4 juta pengikut.

Wajah ditegur orang sekeliling

"Saya mula perasan muka ada iras-iras Shah Rukh Khan selepas ditegur oleh beberapa orang kawan di sekolah menengah. Ada juga kanak-kanak akan tegur cakap kenapa muka macam Rahul ya?

"Mereka panggil saya dengan nama Rahul sebab masa tu dalam banyak filem-filem Bollywood popular lakonan Shah Rukh Khan, dia memang selalu gunakan nama tu. Jadi saya pun terinspirasi juga nak gunakan nama tu pada akaun TikTok saya," ujarnya.

Rahul yang sememangnya meminati lakonan serta watak dibawa oleh Shah Rukh Khan juga mengakui bahawa wajahnya ada persamaan dengan pelakon filem Kabhi Khushi Kabhie Gham dan Kuch Kuch Hota Hai itu.

Rahul meminati lakonan Shah Rukh Khan.

Katanya, walaupun tidak berdarah kacukan atau berketurunan India, jika diamati bentuk dan struktur wajahnya memang mirip Shah Rukh Khan.

Rahul yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik beradik berkata, rupa parasnya dikatakan sama dengan bapanya namun kesemua ahli keluarga diakui memiliki wajah seperti orang India.

Menerima segala pujian dan kecaman dengan hati terbuka

"Bagi saya, bahagian hidung, mata, rambut dan raut wajah sama dengan dia (SRK). Tapi saya memang tak ada mix blood atau kacukan. Saya memang warga Indonesia dari suku Aceh.

“Bila saya post video-video dekat TikTok, boleh dikatakan 70 peratus bersetuju muka kami sama. Yang tak setuju, saya tak ambil hati pun dengan pendapat mereka.

Lelaki ini gemar membuat content meniru lagak Shah Rukh Khan.

“Filem pertamanya yang saya tonton adalah Karan Arjun. Dari situ saya mula minat sangat tengok lakonan dan watak yang dia bawa pada usia 12 tahun. Dia tak pernah gagal membawa karakter sesebuah watak.

Bercerita lanjut mengenai kandungan dibuat di TikTok, Rahul mula aktif pada 2019 namun ketika itu dia belum lagi mendapat perhatian ramai.

Situasi dulu ternyata berbeza dengan masa kini apabila pengikutnya bukan sahaja dari negara sendiri malah sudah dikenali warga Malaysia khususnya pengguna TikTok.

Bersedia untuk berlakon

Kesungguhannya membuahkan hasil apabila kini sudah mula membuat rakaman di studio menyanyikan semula lagu-lagu Hindustan dan disukai ramai.

“Sebenarnya saya tak tiru gaya Shah Rukh Khan pun sebab saya secara semula jadi memang macam ni tanpa dibuat-buat.

Rahul mula berjinak-jinak membuat kandungan rakaman nyanyian di studio.

“Sekarang saya tengah bina kerjaya berjinak-jinak dalam bidang hiburan. Lagu-lagu Hindustan yang saya nyanyikan tu saya belajar sendiri dengan mendengar saja. Lagipun dah terbiasa dari kecil lagi keluarga memang akan pasang lagu-lagu Hindustan saja di rumah.

“Jika diberikan peluang berlakon dengan Shah Rukh Khan memang saya nak sangat. Saya belum terima tawaran jadi pelakon lagi setakat ni. Mudah-mudahan, pihak Malaysia mahu menawarkan saya jadi pelakon atau muncul pada mana-mana iklan,” ujarnya berseloroh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain