suria

Pecah tradisi! Perdana Menteri Great Britain seorang Punjabi, bekas ahli perniagaan

Rishi Sunak diangkat sebagai Perdana Menteri Britain pada 24 Oktober selepas pesaingnya menarik diri. - The Print

BEKAS Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak berjaya memecah tradisi apabila muncul sebagai Perdana Menteri bukan kulit putih pertama negara itu.

Beliau yang memenangi persaingan menerajui Parti Konservatif itu dikatakan memperoleh 'laluan mudah' apabila Penny Mordaunt, pesaing terakhir selepas Boris Johnson menarik diri secara dramatik setelah gagal meraih 100 pencalonan daripada Ahli Parlimen.

Malah pencapaiannya itu berjaya melakar sejarah tersendiri kerana diangkat sebagai teraju, hanya beberapa minggu selepas tewas kepada Liz Truss untuk mengemudi parti pemerintah berkenaan.

Terdahulu, pemilihan itu diadakan berikutan peletakan jawatan Truss pada Khamis lalu.

Menyoroti figura Perdana Menteri baharu ini, beliau dilahirkan di Southampton dan merupakan keturunan Punjabi yang datang ke United Kingdom dari Afrika Timur.

Merupakan bekas Menteri Kewangan yang berbangsa Punjabi. - NPR

Merupakan bekas Menteri Kewangan yang berbangsa Punjabi. - NPR

Bapanya, Yashvir, bekerja di NHS sebagai doktor keluarga.

Memetik laporan metro.co, Sunak mengikuti pengajian swasta di Kolej Winchester dan pernah menjadi ketua pemimpin lelaki, sebelum memperoleh ijazah dalam politik, falsafah dan ekonomi di Oxford.

Beliau juga merupakan graduan Master of Business Administration (MBA) di Universiti Stanford, California

Malah dikatakan mengenali isterinya, Akshata Murty iaitu anak perempuan lelaki terkaya keenam di India semasa mengikuti pengajian tersebut.

Kini pasangan itu mempunyai dua orang cahaya mata.

Perdana menteri baharu itu bagaimanapun berkata, ibu bapanya 'berkorban besar' untuk menghantarnya ke sekolah elit sehingga akhirnya berjaya seperti sekarang.

Selepas Stanford, Sunak memulakan kerjaya perniagaan yang berjaya, termasuk Goldman Sachs dan sebagai pengurus dana lindung nilai.

Beliau akui mendapat inspirasi daripada ayahnya yang berkhidmat untuk masyarakat. - Wikibio

Beliau akui mendapat inspirasi daripada ayahnya yang berkhidmat untuk masyarakat. - Wikibio

Maka tidak hairanlah apabila beliau beralih ke bidang politik seawal usia 30-an dengan jumlah aset dan kekayaan yang banyak.

Mengimbau penglibatan pertamanya dalam arena tersebut, pada 2015 beliau dipilih ke kerusi Tory yang sangat selamat di Richmond, North Yorkshire, dan kini masih dipegangnya.

Di usia 42 tahun, beliau diangkat sebagai menteri apabila Johnson menjadi Perdana Menteri pada Julai 2019 seterusnya dinaikkan pangkat ke Kabinet sebagai ketua setiausaha perbendaharaan sebelum menjadi canselor apabila Sajid Javid berhenti enam bulan kemudian.

Turut digelar 'Dishi Rishi' kerana usahanya mengimbangi krisis kewangan akibat penularan wabak Covid-19 dengan mengambil cuti untuk berbelanja menerusi industri pelancongan serta membelanjakan wang di restoran.

Pun begitu, berdasarkan sejarah Perdana Menteri Britain, Sunak bukanlah sosok termuda yang pernah menyandang jawatan tersebut.

Namun sejak 1812, hanya beliau yang berusia awal 40-an.

Sunak dan isterinya, Akshata Murthy berkahwin pada 2009. - Getty image

Sunak dan isterinya, Akshata Murthy berkahwin pada 2009. - Getty image

Sebelum era tersebut, Robert Jenkinson, Earl ke-2 Liverpool, juga berusia 42 tahun ketika memegang jawatan itu.

Perdana Menteri termuda dalam sejarah United Kingdom dikenali sebagai William Pitt The Younger kerana baru berusia 24 tahun pada 1783.

Bukan sahaja Perdana Menteri termuda Great Britain tetapi orang terakhir yang mempunyai gelaran tepat kerana Akta Kesatuan (1800) menjadikannya secara rasmi Perdana Menteri United Kingdom setakat Januari 1801.

Perdana Menteri muda lain berabad-abad yang lalu termasuk:

- Augustus FitzRoy, Duke of Grafton ke-3 (berusia 33 tahun, pada tahun 1768)

- Charles Watson-Wentworth, Marquess ke-2 Rockingham (berumur 35 tahun, pada tahun 1765)

- William Cavendish, Duke of Devonshire ke-4 (berusia 36 tahun, pada tahun 1756)

- Frederick North (berumur 37 tahun, pada tahun 1770).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain