suria

Raih 8A dalam SPM, gadis akui sukar pujuk ibu nak ceburi bidang fesyen... bijak curi peluang di TikTok

Asha merupakan seorang pelajar yang banyak berkongsi video fesyen menerusi TikTok.

KEHADIRAN seorang gadis menerusi aplikasi TikTok yang petah berbicara mengenai dunia fesyen ternyata mencuri tumpuan ramai.

Di sebalik ratusan video penuh informasi yang dihasilkan oleh Afrina Farisha Abu Samah, ramai sebenarnya tertanya-tanya identiti sebenar gadis itu.

Bagaimana dia tahu pelbagai sejarah dunia fesyen? Adakah dia pereka? Adakah dia seorang pensyarah? Atau mungkin dia pengumpul koleksi fesyen?

Pelbagai teka-teki bermain di fikiran orang ramai, namun siapa sangka gadis berusia 18 tahun itu hanyalah pelajar bidang fesyen yang banyak membuat kajian sendiri sejak usia awal remaja.

asha2

Asha aktif menghasilkan video mengenai dunia fesyen menerusi TikTok.

"Saya sebenarnya hanyalah pelajar fesyen berusia 18 tahun yang mula minat dengan bidang itu dan banyak belajar sendiri sejak usia 14 tahun. Saya mula buat kajian dan carian sendiri sejak beberapa tahun lalu.

"Sebelum ini saya banyak masuk komuniti fesyen dalam talian, sekarang saya dah bergelar pelajar fesyen. Harapnya suatu hari nanti saya dapat buat jenama fesyen sendiri," ujarnya kepada mStar.

Senang disapa Asha, anak jati Kuala Lumpur itu berkata dia memilih TikTok sebagai platform perkongsian kerana sifatnya yang lebih terbuka dan mudah diakses semua orang pada hari ini.

asha3

Asha mahu orang ramai mengerti bahawa bidang fesyen juga menjanjikan masa depan yang cemerlang.

Malah, Asha ada misi tersendiri untuk meyakinkan orang di luar sana bahawa bidang fesyen juga menjanjikan masa depan yang baik, sama seperti bidang-bidang akademik yang lain.

"Sekarang saya belajar bidang pemasaran fesyen. Sebab itu dalam video-video di TikTok, saya banyak bercakap dari sudut bisnes dalam dunia fesyen. Dan sebab itu jugalah saya mulakan TIkTok.

"Ada orang fikir fesyen tiada masa depan. Orang tak yakin untuk ceburi bidang ini. Saya guna TikTok untuk sebarkan pengetahuan bahawa banyak peluang kerja dalam bidang fesyen.

"Saya sendiri pun kena yakinkan ibu untuk masuk bidang ini. Saya baru sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 8A. Ibu kalau boleh nak saya masuk bidang perniagaan atau komunikasi.

asha4

Pelajar ini gembira apabila video di TikTok miliknya mampu membantu orang ramai yang sedang mencari identiti fesyen mereka.

"Kalau saya boleh buat, orang lain pun boleh. Pada masa sama, saya buat video TikTok untuk kongsi mengenai ramai orang Malaysia yang berjaya dalam bidang ini," ujarnya lagi.

Penangan viral di TikTok, nama Asha semakin dikenali, malah dia turut menjadi rujukan segelintir individu yang masih tercari-cari identiti fesyen mereka.

Asha juga teruja apabila populariti yang diraih secara dalam talian membolehkan dia dijemput menghadiri acara fesyen, sekali gus membuka ruang untuk dia pergi lebih jauh dalam bidang itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tinggalkan kerja buat labu sayong sebab nak cuba bidang lain! Anak terkejut tengok perusahaan bapanya sekarang, tak menang tangan siapkan order

"Saya bermula dengan video penjenamaan semula Bonia di TikTok. Selepas itu, saya teruskan dengan pelbagai video lain seperti tip fesyen dan sebagainya. Saya rasa gembira, sebelum ni rasa macam tiada siapa nak dengar saya bercakap.

"Tapi di TikTok, ada video saya yang mencecah 500,000 tontonan. Ada yang komen, mereka kata mula suka fesyen selepas menonton video saya. Saya rasa gembira dapat buat mereka jatuh cinta dengan fesyen.

asha5

Asha banyak membuat carian dan kajian mengenai fesyen sejak berusia 14 tahun.

"Saya buat carian dan kajian sendiri... baca artikel dan video, kemudian buat rumusan dan hasilkan dalam satu video untuk mudahkan penonton faham. Saya juga cuba guna bahasa yang mudah," ujar Asha yang turut dijemput ke Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Asha turut memberi tip mudah kepada mereka yang masih takut dan tercari-cari identiti mereka dalam berfesyen.

"Saya rasa kita kena berfikiran terbuka dalam bab fesyen. Paling penting kena ada keyakinan diri. Kena cari keyakinan diri dulu baru boleh cari gaya fesyen anda.

"Selain itu, jangan risau akan pandangan orang. Selagi pakaian anda tak menyentuh sensitiviti budaya atau agama, pada saya itu okay. Tak perlu hirau pendapat orang lain," ujar Asha yang popular dengan tagline your local fashion girl, girl meets couture di TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain