suria

Suami isteri berhenti kerja selepas kahwin, usahakan bisnes labu sayong walau tiada pengetahuan... kini produk laris sampai luar negara

Haris dan isteri sama-sama mengusahakan pembuatan labu sayong sejak mendirikan rumah tangga.

FIGURA mStar kali ini menceritakan kisah seorang lelaki yang berkecimpung dalam dunia pembuatan labu sayong sejurus mendirikan rumah tangga pada tahun 2017.

Menurut Muhamad Haris Yusof, dia perlahan-lahan mempelajari tentang seni itu daripada keluarga mentuanya yang telah mengusahakan perniagaan berkenaan sejak tahun 2000 lagi.

Senang disapa Haris, dia dan isterinya, Nurhanis Mohd Nasir, masing-masing berusia 31 tahun, sanggup meninggalkan kerjaya asal demi memberi sepenuh perhatian terhadap labu sayong sehingga ia menjadi sumber rezeki mereka hari ini.

haris1

Haris bersama isteri dan anaknya.

"Dulu saya belajar Sains Sukan, isteri pula belajar bidang pengurusan pejabat. Kami berdua bekerja di syarikat swasta. Selepas berkahwin pada tahun 2017, kami berdua buat keputusan berhenti kerja dan fokus pada pembuatan labu sayong.

"Kebetulan saya minat dengan bidang seni. Secara perlahan-lahan saya belajar dengan mentua. Pada masa sama, saya turut menuntut ilmu dengan kawan-kawan bapa mentua yang turut sama mengusahakan perniagaan labu sayong.

"Saya juga ada mengikuti kursus dengan pihak Kraftangan Malaysia cawangan Perak untuk mempelajari seni ini dengan lebih mendalam," ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.

Haris rajin berkongsi video pembuatan labu sayong menerusi TikTok.

Mengimbas detik permulaannya, Haris mengakui dia melalui perjalanan yang sukar kerana langsung tidak mempunyai kemahiran asas dalam pembuatan labu sayong.

Atas kesungguhan yang ditunjukkan, dia berjaya memahirkan diri dalam masa beberapa bulan sebelum mengembangkan lagi kemahiran dengan proses pembelajaran yang berterusan.

"Sejujurnya memang susah nak belajar. Tapi kalau nak buat apa-apa sekali pun, paling penting kena ada minat. Kalau ada bakat tapi tak ada minat, saya yakin orang tu tak boleh buat. Minat sangat penting.

haris4

Labu sayong masih lagi mendapat permintaan sehingga ke hari ini.

"Makan masa juga untuk saya belajar step by step dulu. Masa awal-awal, labu sayong yang saya buat jadi bentuk tak sepatutnya. Ambil masa dua ke tiga bulan untuk mahir.

"Jadi kalau ada sesiapa yang berminat nak belajar, mereka boleh rujuk dengan pihak Kraftangan. Selain itu, boleh juga datang ke tempat saya. InsyaAllah saya boleh beri tunjur ajar. Yang penting kena cari saluran yang betul," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka ini seronok masuk dapur! Sanggup tinggal kerjaya arkitek demi buat kek... “Saya fleksibel, minta design merepek pun tak apa”

Biarpun sibuk menguruskan perusahaan labu sayong, Haris juga rajin berkongsi video-video menarik mengenai kraf itu menerusi aplikasi TikTok sehingga ia tular dan meraih ratusan ribu tontonan.

"Baru setahun saya aktif di TikTok. Isteri yang beri idea supaya buat TikTok. Tak sangka ramai orang Malaysia suka tengok video pembuatan labu sayong. Ia memberi semangat untuk saya terus berkongsi ilmu.

haris5

Antara labu sayong yang dihasilkan Haris dan keluarganya.

"Alhamdulillah, ada juga dapat pelanggan baharu melalui TikTok. Saya juga ada buat penghantaran ke seluruh Malaysia termasuklah Singapura dan Brunei," ujarnya lagi.

Selain labu sayong yang digunakan sebagai hiasan dan bekas menyimpan air, pihaknya turut menghasilkan labu sayong untuk dijadikan sebagai doorgift majlis kahwin.

"Sehingga ke hari ini masih ada peminat labu sayong. Kalau dulu orang guna untuk simpan air je. Sekarang ia turut ditempah untuk doorgift perkahwinan dan sebagainya.

haris 7

Lawatan sambil belajar membolehkan anak kecil melihat pembuatan labu sayong dengan lebih dekat.

"Setakat ini saya tak ada buat kelas mengajar, tapi kalau orang datang nak tengok proses pembuatan, saya boleh tunjukkan. Selalu ada rombongan lawatan.

"Jadi kalau ada sesiapa yang nak datang melawat, boleh hubungi saya awal-awal supaya boleh set up tempat dan jadual kerja," ujarnya lagi.

Premis labu sayong yang diusahakan keluarga mentuanya itu menempatkan bengkel pembuatan serta showroom yang membolehkan orang ramai datang melihat kraf itu dengan lebih dekat.

Kraf Hanis Labu Sayong Mehans Enterprise terletak di alamat No 98, Sayong Lembah, 33040, Kuala Kangsar, Perak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain