suria

Setinggi mana patriotisme anda? Hayati 15 info mengenai sejarah terciptanya Jalur Gemilang

Jalur Gemilang berkibar megah di sepanjang Jambatan Seri Gemilang. Foto: Bernama

SEPERTI mana kelaziman setiap tahun, menjelang bulan Ogos, rata-rata rakyat Malaysia tidak mahu ketinggalan mengibarkan bendera bagi menunjukkan semangat patriotisme kepada tanah air.

Boleh dikatakan, bendera Malaysia meriah dipasang dan megah berkibar di sepanjang jalan, premis bangunan mahupun di serata pelosok kampung ketika ini.

Dalam pada keterujaan serta semangat meraikan kemerdekaan, tidak lengkap pula rasanya sekiranya kita tidak menghayati sejarah penciptaan bendera Malaysia atau Jalur Gemilang itu sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Semangat Mat Kilau meresap! Murid SK Jejawi di Perlis ‘sporting’ ikut tema orang kampung sempena pelancaran bulan kemerdekaan

Ayuh, luangkan sedikit masa anda untuk menghayati serba sedikit informasi mengenai sejarah Jalur Gemilang sebagaimana perkongsian laman Majlis Keselamatan Negara (MKN):

1. Penciptaan bendera Malaysia bermula daripada sebuah pertandingan. Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk pada Mei 1948.

2. Seramai 373 karyawan mengambil bahagian dan tiga reka bentuk berjaya dipilih ke peringkat akhir.

n

Pereka bendera Malaysia, Mohamed Hamzah yang merupakan seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor.

3. Arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, Mohamed Hamzah akhirnya dipilih sebagai pemenang.

4. Mohamed dilahirkan di Hospital Kandang Kerbau, Singapura pada 5 Mac 1918 dan merupakan anak kedua daripada 10 beradik.

5. Mohamed mendapat pendidikan di Sekolah Inggeris Bukit Zahrah pada tahun 1930. Beliau kemudian menamatkan persekolahannya pada peringkat Senior Cambridge di Maktab Sultan Abu Bakar pada tahun 1935.

6. Pada 1936, Mohamed ditaja oleh kerajaan Johor untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang seni lukis di Kolej Raffles, Singapura. Beliau telah mendapat keputusan cemerlang dalam kursus ini, dengan Sijil Kelas A1 yang disampaikan pada 31 Januari 1937

7. Berkhidmat di Jabatan Kerja Raya Johor sebagai seorang pelukis pelan di bawah seorang jurutera JKR negeri bernama W.A. Kirk.

8. Sejak zaman pemerintahan Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah, beliau sering dipanggil untuk melukis logo atau lambang diraja, bangunan-bangunan dan sebagainya.

9. Bendera Malaysia ciptaan Mohamed diilhamkan daripada bendera Johor iaitu negeri asal beliau, yang mempunyai bulan bintang Uthmaniyyah.

Muhamad Shahril Rosli/The Star

Jalur gemilang dipasang dan dikibarkan pada kenderaan.

10. Pemimpin Tanah Melayu ketika itu, Datuk Onn Jaafar bertemu dengan Mohamed setelah beliau memenangi pertandingan itu dan mencadangkan agar bintang ditukar menjadi 11 bucu untuk mewakili semua negeri Tanah Melayu.

11. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.

12. Buat pertama kalinya, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950.

13. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

14. Maksud di sebalik warna, biru melambangkan perpaduan rakyat Malaysia, kuning pada bintang dan bulan sabit ialah warna diraja raja-raja Melayu, merah melambangkan keberanian rakyat Malaysia, dan putih melambangkan kesucian dan keluhuran hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

15. Pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara, Tun Dr Mahathir Mohammad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah mengukir sejarah dengan mengumumkan nama baharu bagi bendera Malaysia iaitu sebagai Jalur Gemilang.

Ayuh, sama-sama kibarkan Jalur Gemilang sebagai menunjukkan betapa bangganya kita dilahirkan sebagai anak Malaysia. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-65 buat semua!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain