suria

Google dedikasikan Doodle sempena hari lahir Azah Aziz ke-94, ini 10 perkara tentang ikon budaya tanah air

Google Doodle sempena hari lahir Azah Aziz yang ke-94.

ALLAHYARHAMAH Azah Aziz bukanlah sosok asing dalam dunia kewartawanan tanah air.

Lebih mesra dikenali sebagai Mak Ungku, Azah Aziz bukan sahaja seorang jurnalis wanita perintis di Malaysia, malah turut diangkat sebagai ikon budaya.

Azah Aziz telah menulis sejumlah artikel akhbar dan majalah selama 37 tahun, di samping mengarang lebih 10 buah buku termasuk jilid mengenai tekstil dan pakaian Melayu.

Beliau dihormati kerana dedikasi sepanjang hayatnya untuk memelihara budaya, tekstil dan pakaian tradisional Melayu untuk generasi akan datang.

"Ketika kecil, saya masih ingat minatnya dalam penulisan. Beliau menulis tentang tekstil, pakaian, dan tentang warisan budaya.

AZAH 1

Google mendedikasikan Doodle buat Azah Aziz sebagai tanda penghormatan.

"Beliau sangat liberal dalam pemikirannya mengenai banyak isu dan menulis dengan penuh semangat tentang hak wanita, kanak-kanak, tetapi saya tidak akan menggambarkannya sebagai seorang feminis.

"Sebaliknya lebih sebagai penyokong isu wanita dan isu-isu yang berkaitan dengan kanak-kanak," ujar anak perempuan Azah Aziz, bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Aziz ketika berkongsi pendapat mengenai ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu meninggal dunia, bapa pula kena pulang Indonesia... Wanita asal Tawau ini kerja keras demi ubah nasib, kini ada bisnes sendiri

Sempena hari lahir Azah Aziz yang ke-94 yang jatuh pada tanggal 21 Ogos lalu, Google telah mendedikasikan Doodle sebagai penghormatan buat beliau.

Mungkin generasi sekarang hanya mengenali nama serta wajahnya yang diabadikan dalam lembaran sejarah pada bahan akademik serta internet.

Dalam segmen Figura kali ini, mStar menyenaraikan beberapa fakta untuk anda lebih mengenali sosok ikon budaya tanah air ini.

AZAH 3

Azah mula memupuk minat dalam bidang penulisan dan sastera ketika bekerja di Jabatan Pengajian Melayu.

1. Nama sebenar Azah Aziz adalah Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff dan dilahirkan pada 21 Ogos 1928.

2. Berkahwin dengan Prof Diraja Dr Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

3. Ketika bekerja sebagai setiausaha di Jabatan Pengajian Melayu, di bawah ketua jabatan Tan Sri Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za'ba), Azah mula memupuk minat dalam bidang penulisan dan sastera

4. Antara personaliti antarabangsa yang pernah ditemu ramah beliau ialah bekas perdana menteri India, Indira Gandhi, peninju Muhammad Ali & keluarganya serta angkasawan wanita pertama ke angkasa lepas, Valentina Nikolayeva-Tereshkova.

5. Mengasaskan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) dan menjadi presiden pertamanya dari 1971 hingga 1978 serta penasihat Pertama seterusnya.

6. Salah seorang pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), sebuah pertubuhan kebajikan untuk menangani kebajikan dan keperluan wanita dan kanak-kanak.

7. Memperjuangkan persamaan gaji dan cukai berasingan untuk isteri yang bekerja

8. Menerima pelbagai pengiktirafan di atas dedikasinya dalam bidang kesenian dan budaya, iaitu Tokoh Budayawan Melayu, Ijazah Kehormat Doktor dalam bidang Seni dan Pendidikan (UPSI), Tokoh Wanita Johor (1992) dan penerima Anugerah Wanita Cemerlang Avon-Tan Sri Fatimah 1994.

9. Ibu kepada bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Aziz.

10. Menghembuskan nafas terakhir pada 9 Julai 2012 pada usia 84 tahun.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain