Tuntutan nafkah anak sering menjadi isu utama bagi pasangan suami isteri yang telah berpisah. -Gambar hiasan AI
GOLONGAN ibu pasti akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan nafkah yang sewajarnya demi memastikan keperluan anak terus terjamin selepas berlakunya perceraian. Namun, ada kalanya jumlah diputuskan mahkamah lebih rendah berbanding tuntutan dikemukakan sehingga menimbulkan persoalan dan rasa tidak puas hati. Peguam Syarie dikenali sebagai Aiman menjelaskan di Threads miliknya mahkamah tidak menetapkan jumlah nafkah berdasarkan permintaan semata-mata, sebaliknya membuat penilaian berdasarkan bukti dikemukakan oleh kedua-dua pihak sepanjang prosiding."Nafkah anak dituntut sebanyak RM2,000 tapi mahkamah luluskan RM500 walaupun semasa berkahwin si bapa mampu membayar jumlah yang dimohon bekas isteri," ujarnya berkongsi situasi berlaku.Justeru, beliau menyatakan terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan jumlah tuntutan yang dimohon tidak diluluskan sepenuhnya.1. Gagal membuktikan keperluan sebenar anakSeorang ibu perlu mengemukakan bukti perbelanjaan sebenar anak seperti resit atau dokumen sokongan berkaitan yuran sekolah, susu, rawatan perubatan dan keperluan lain.Sekiranya tuntutan hanya dibuat berdasarkan anggaran tanpa bukti yang kukuh, mahkamah sukar meluluskan jumlah yang dimohon.2. Bapa berjaya membuktikan kemampuan kewangan semasaMahkamah turut mengambil kira kemampuan kewangan bapa ketika prosiding berlangsung.Menurut Aiman, jika bapa dapat mengemukakan slip gaji, penyata bank atau dokumen lain yang menunjukkan pendapatannya telah berkurangan atau mempunyai komitmen kewangan lain, perkara itu boleh mempengaruhi jumlah nafkah yang diputuskan.3. Mahkamah menilai keadaan semasa, bukan ketika masih berkahwinHakikat bahawa seorang bapa pernah memberi nafkah RM2,000 ketika masih bersama tidak bermaksud dia masih mampu membayar jumlah yang sama selepas perceraian.Ini kerana mahkamah akan menilai situasi kewangan semasa berdasarkan bukti yang dikemukakan, bukannya keadaan ketika pasangan masih berkahwin.4. Penyediaan bukti menjadi faktor paling pentingAiman menegaskan kejayaan sesuatu tuntutan nafkah sama ada banyak atau sedikit bergantung kepada bukti yang dibawa ke mahkamah.Katanya, mahkamah tidak boleh membuat keputusan berdasarkan andaian atau perasaan bahawa jumlah tertentu sudah memadai, sebaliknya setiap tuntutan perlu disokong dengan dokumen yang jelas.Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang ingin membuat tuntutan nafkah supaya menyediakan segala dokumen berkaitan lebih awal bagi memastikan mahkamah dapat membuat penilaian secara adil berdasarkan fakta dan bukti dikemukakan.