suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Mata tiba-tiba ‘tercelik’ pukul 1 pagi? Hati-hati, tubuh anda mungkin sedang hantar isyarat paras hormon stres meroket!

Gangguan tidur sering dialami segelintir individu yang mempunyai masalah hormon kortisol. -Gambar hiasan AI

TERJAGA secara tiba-tiba daripada tidur pada pukul 1 atau 2 pagi boleh membuatkan seseorang berasa buntu, lebih-lebih lagi apabila sukar untuk melelapkan mata semula.

Ramai menganggap keadaan itu berpunca daripada insomnia, namun menurut seorang pengamal gaya hidup sihat, Nurul Faizeen Abdul Latif, tabiat tersebut juga boleh dikaitkan dengan paras hormon kortisol yang tinggi akibat tekanan atau ketidakseimbangan metabolik.

Menerusi satu perkongsian di Threads, dia yang pernah mengikuti latihan berkaitan nutrisi menjelaskan bahawa kortisol (hormon stres) yang tinggi bukan sahaja menyebabkan seseorang kerap terjaga pada awal pagi, malah turut dikaitkan dengan proses penuaan lebih cepat, penurunan paras testosteron serta kesukaran mengurangkan lemak di bahagian perut.

Jelasnya, terdapat beberapa amalan harian yang boleh membantu mengurangkan masalah berkenaan tanpa bergantung kepada ubat.

1. Elakkan makan tiga jam sebelum tidur

Makan pada lewat malam boleh menyebabkan paras gula dalam darah meningkat sebelum badan bertindak melepaskan insulin.

Apabila paras gula jatuh terlalu rendah sekitar pukul 1 atau 2 pagi, badan akan menghasilkan hormon kortisol bagi menaikkan semula paras gula, sekali gus menyebabkan seseorang terjaga daripada tidur.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak semestinya bermaksud seseorang mengalami insomnia, sebaliknya tubuh sedang memberi tindak balas terhadap ketidakseimbangan metabolik.

2. Luangkan 90 minit pada waktu malam untuk 'mengosongkan' fikiran

Ramai individu, masih memikirkan tugasan atau keputusan yang belum diselesaikan ketika mahu tidur.

Bagi mengurangkan keadaan itu, Nurul Faizeen menyarankan supaya mereka yang mengalami masalah tidur untuk meluangkan kira-kira 90 minit bagi menulis semua perkara yang masih bermain di fikiran.

Dengan cara itu, otak tidak perlu memproses perkara yang sama secara berulang ketika waktu tidur.

3. Pastikan apa yang difikirkan selari dengan apa yang dirasai

Menurutnya, ramai cuba meyakinkan diri bahawa mereka berada dalam keadaan baik sedangkan tubuh sebenarnya sedang memberi isyarat keletihan, tekanan atau kebimbangan.

Justeru, dia menyarankan supaya seseorang mengakui apa yang benar-benar dirasai sebelum tidur kerana konflik antara emosi dan pemikiran boleh membuatkan badan terus berada dalam keadaan tertekan.

4. Amalkan teknik pernafasan 4-8

Sebelum tidur, cuba tarik nafas selama empat saat sebelum menghembuskannya perlahan-lahan selama lapan saat selama lima minit.

Katanya, hembusan nafas yang lebih panjang membantu mengaktifkan sistem saraf vagus yang berperanan menenangkan badan dan mengurangkan tindak balas terhadap tekanan.

5. Kenal pasti apa yang badan sedang rasakan jika terjaga pada waktu malam

Jika terjaga sekitar pukul 2 pagi, dia menasihatkan supaya tidak terus panik atau memikirkan pelbagai perkara negatif.

Sebaliknya, cuba kenal pasti isyarat yang sedang diberikan tubuh seperti rahang terasa tegang, dada berdebar atau tangan kebas.

Menurutnya, menerima keadaan tersebut boleh membantu menenangkan sistem saraf berbanding terus mencari penyelesaian ketika itu.

6. Jangan paksa diri untuk tidur semula

Tambahnya, memaksa diri untuk tidur hanya akan menyebabkan otak menjadi lebih aktif.

Sebaliknya, fokus kepada usaha menenangkan sistem saraf kerana apabila badan kembali tenang, rasa mengantuk akan datang dengan sendirinya.

Bagaimanapun katanya, masalah kerap terjaga pada waktu malam juga boleh berpunca daripada faktor lain seperti pengambilan kafein, apnea tidur, menopaus, gangguan kebimbangan, kesan ubat-ubatan atau masalah kesihatan tertentu.

Justeru, mereka yang mengalami masalah tersebut secara berpanjangan sehingga mengganggu kehidupan harian disaran mendapatkan penilaian daripada profesional kesihatan.

Artikel Lain