suria

Ibu hamil, suami kena rasional sebelum ambil keputusan balik raya... Hadam dulu nasihat doktor ini, elak komplikasi

Wanita hamil disarankan mendapatkan nasihat doktor sekiranya mahu membuat perjalanan jauh. -Gambar hiasan AI

SETIAP kali tibanya Syawal, keinginan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan hari penuh istimewa bersama keluarga tersayang pastinya sukar ditahan. 

Namun bagi wanita hamil, perjalanan jauh khususnya dalam tempoh kandungan yang semakin sarat sering menimbulkan persoalan daripada segi keselamatan.

Seorang doktor, Dr Nisa Khalil tampil berkongsi pandangan susulan pertanyaan seorang pesakitnya yang hamil 34 minggu dan bercadang untuk pulang ke kampung dengan perjalanan memakan masa kira-kira enam jam.

Menurut doktor berkenaan, secara umumnya bagi kehamilan berisiko rendah, tiada komplikasi dan usia kandungan di bawah 36 minggu, kebanyakan wanita masih dibenarkan untuk melakukan perjalanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Balik kampung tanpa drama! Bapa kongsi tip elak anak tantrum dalam kereta, memandu 12 jam pun tenang je

Bagaimanapun, beliau tegas mengesyorkan ibu hamil agar mendapatkan nasihat daripada doktor masing-masing sebelum membuat keputusan.

Bagi perjalanan darat jarak jauh, doktor tersebut turut berkongsi beberapa langkah berjaga-jaga yang boleh diamalkan:

- Berhenti setiap satu hingga dua jam untuk keluar dari kenderaan, berjalan seketika, melakukan regangan serta minum air secukupnya. Ini kerana risiko pembekuan darah sememangnya wujud ketika hamil, terutamanya apabila duduk dalam tempoh yang lama.

Antara item penting yang wajib dibawa ketika travel adalah buku antenatal dan bag hospital. -Gambar hiasan AI

- Pastikan pemakaian tali pinggang keledar adalah betul, iaitu di bawah perut (kandungan) dan melintang di bahagian dada.

- Paling penting, wajib membawa kad pemeriksaan antenatal yang terkini sepanjang perjalanan.

- Sediakan juga beg kelengkapan untuk ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun hanya pulang ke kampung.

- Ambil maklum lokasi hospital terdekat di sepanjang laluan ke destinasi.

Dalam pada itu, bagi ibu hamil yang merancang untuk pulang ke kampung menggunakan pesawat, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:

- Kebanyakan syarikat penerbangan tidak membenarkan wanita hamil menaiki pesawat bermula usia kandungan 36 minggu bagi penerbangan domestik, dan sekitar 32 hingga 34 minggu bagi penerbangan antarabangsa.

- Polisi setiap syarikat penerbangan adalah berbeza, jadi penumpang dinasihatkan untuk menyemak terlebih dahulu sebelum membuat tempahan tiket.

- Kebiasaannya, ibu hamil juga perlu mendapatkan surat pengesahan atau kebenaran daripada doktor sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

- Jika menempah tiket, pilih tempat duduk di bahagian lorong (aisle seat) bagi memudahkan pergerakan untuk bangun dan melakukan regangan.

Artikel Lain