suria

Bukan sekadar ‘sumbat’ susu dan bagi gajet... Ini 5 tip beraya dengan anak kecil, elak si manja tantrum

Ibu bapa sewajarnya memahami keperluan si kecil lebih-lebih lagi ketika berada di luar. -Gambar hiasan AI

SUASANA hari raya sememangnya meriah dengan aktiviti kunjungan dari satu rumah ke satu rumah bagi mengeratkan silaturrahim.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil, momen ini pastinya ingin dinikmati sepenuhnya bersama keluarga tersayang.

Namun, seorang ibu, @n.filzah.a tampil berkongsi peringatan penting buat ibu bapa lain bahawa membawa anak ketika beraya bukan sekadar memastikan mereka cukup makan dan minum susu atau memberi gajet.

ARTIKEL BERKAITAN: Balik kampung tanpa drama! Bapa kongsi tip elak anak tantrum dalam kereta, memandu 12 jam pun tenang je

Menurutnya, masih ramai yang terlepas pandang beberapa perkara penting sehingga menyebabkan anak tantrum dan 'mencipta drama' sehingga akhirnya menyebabkan mood beraya terjejas.

Berikut adalah beberapa tip yang dikongsikan:

1. Jangan ganggu jadual tidur anak

- Jadual tidur anak perlu dijaga walaupun sedang sibuk beraya. Jika waktu tidur terganggu atau terlepas, anak mudah menjadi meragam, terlebih rangsangan (overstimulated) dan mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam.

2. Kawal rangsangan berlebihan (overstimulation)

- Keadaan rumah yang penuh dengan tetamu, bunyi bising serta situasi di mana ramai ingin mendukung anak boleh mengundang rasa kurang selesa.

Antara tanda anak sudah penat termasuk merengek tanpa sebab, menolak orang atau asyik mahu dipeluk ibu bapa. Jika ini berlaku, segera bawa anak ke tempat yang lebih tenang untuk berehat.

3. Jaga kebersihan tangan

- Bersalam, memegang makanan dan bermain di pelbagai tempat menyebabkan tangan anak mudah terdedah kepada kuman.

Ibu bapa disarankan untuk kerap membersihkan tangan anak menggunakan tisu basah, guna cecair sanitasi atau mencuci tangan sebelum makan.

4. Utamakan keselamatan di rumah orang

Apabila berkunjung ke rumah orang lain, ibu bapa perlu lebih peka terhadap persekitaran. Perhatikan perkara seperti tangga, pintu kaca serta objek kecil yang boleh membahayakan anak.

5. Jangan paksa anak

Ada ibu bapa yang cenderung memaksa anak untuk 'mesra' dengan orang lain, seperti membiarkan mereka didukung tanpa kerelaan. Jika anak menunjukkan tanda tidak selesa, berikan mereka masa.

Anak kecil juga memerlukan ruang untuk menyesuaikan diri, sama seperti orang dewasa.

Artikel Lain