suria

Ketahui hak ibu bapa jika anak cedera di taska, peguam pesan jangan teragak-agak buat laporan

Ibu bapa perlu mengambil tindakan jika anak-anak cedera ketika dihantar ke taska. -Gambar hiasan

IBU bapa kini semakin resah apabila menghantar anak-anak mereka ke taska berikutan peningkatan kes kecuaian dan penderaan.

Malah, insiden-insiden yang dilaporkan memberi kesan mendalam terhadap kepercayaan ibu bapa sehingga mereka terpaksa lebih berwaspada dalam memilih pusat penjagaan.

Dalam perkongsian di TikTok, seorang peguam dikenali sebagai Syafiq turut mengulas tentang hak ibu bapa sekiranya anak mereka cedera ketika berada di taska.

"Hantar anak taska, bayar mahal-mahal. Dalam agreement cakap kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi sepanjang hari.

"Anak luka, koyak dekat dagu, bila minta, CCTV rosak. Apa ibu bapa boleh tuntut?" tulis peguam itu.

Menurutnya, berikut merupakan lima tuntutan yang boleh dibuat oleh ibu bapa:

1. Penjelasan bertulis oleh taska

2. Minta CCTV yang okay

3. Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)

4. Minta refund yuran

5. Laporan polis

Press conference about the safety in Taman Taynton View, Cheras.

Rakaman CCTV sangat penting untuk menyiasat sebarang kecuaian atau penderaan di taska. -Gambar hiasan

Ketika dihubungi mStar, Syafiq turut menitipkan pesan kepada ibu bapa agar tidak takut untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas taska yang bermasalah.

"Nasihat saya, tak perlu takut. Laporan polis wajib. Biar polis buat siasatan untuk pengajaran. Tapi wajib buat laporan yang benar sahaja. Tak nak ada dakwaan.

"Proses undang-undang kadang tak proceed pun sampai mahkamah. Kalau cuai teruk baru akan proceed," ujarnya.

Menurut Syafiq, laporan polis juga penting untuk membolehkan ibu bapa atau pihak berkuasa meminta akses CCTV daripada pihak taska.

"CCTV ditolak (tak bagi tengok) ni biasa. Sebab tu laporan polis penting. Nanti polis boleh minta CCTV tu sendiri.

"Paling extreme, parents minta kami buat court order untuk dapatkan CCTV tu. Ini melibatkan mahkamah," ujarnya lagi.

Tambahnya, ibu bapa juga boleh membuat semakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai sesebuah taska.

Malah, ibu bapa juga disaran untuk membaca ulasan terlebih dahulu sebelum memilih taska untuk anak-anak.

Artikel Lain