suria

Jangan pandang remeh jika puting payudara sakit... Senyap-senyap boleh jadi petanda kanser!

Segera berjumpa doktor jika anda mengalami sakit puting berterusan. -Gambar hiasan

WANITA perlu peka sekiranya mereka mengalami rasa sakit atau tidak selesa pada bahagian puting payudara.

Menurut laman sesawang Hospital Gleanegles, terdapat enam penyebab kepada masalah itu dan salah satunya adalah kanser.

Berikut adalah beberapa punca berpotensi yang menyebabkan kesakitan pada puting:

1. Geseran

Penyebab paling biasa puting sakit ialah geseran.

Ia boleh berlaku jika puting anda melecet pada baju atau pemakaian coli yang tidak sesuai semasa melakukan aktiviti sukan seperti berlari, meluncur atau bola keranjang.

Keadaan ini dipanggil “jogger’s nipple”.

Geseran pada puting boleh menyebabkan pedih, sakit menyengat, luka, kulit mungkin kering atau koyak.

2. Perubahan hormon

Pelbagai gejala, termasuk sakit puting boleh berlaku disebabkan kitaran haid.

Kelembutan payudara dan puting sakit boleh disebabkan oleh turun naik hormon semasa senggugut, kehamilan atau menopaus.

Woman suffering from chest pain

Pemakaian coli yang tidak sesuai boleh menjadi punca puting sakit. -Gambar hiasan

3. Alergi

Sakit puting juga boleh disebabkan tindak balas alahan terhadap sabun, losen, detergen atau bahan pakaian.

4. Penyusuan susu ibu

Satu perkara biasa untuk ibu yang menyusu badan untuk mengalami sakit puting.

Perkara ini biasanya disebabkan oleh pelekapan atau kedudukan bayi yang tidak betul semasa menyusu.

5. Jangkitan

Seriawan (jangkitan yis) atau mastitis (jangkitan pada tisu payudara) adalah jangkitan yang boleh menyebabkan puting sakit dan ketidakselesaan.

6. Kanser payudara atau penyakit Paget

Sakit puting dan gejala lain boleh menunjukkan masalah kesihatan lain seperti kanser payudara.

Ketulan di belakang puting mungkin didapati pada lebih kurang separuh daripada wanita yang didiagnosis dengan penyakit Paget pada puting.

Sebagai peringatan, segeralah berjumpa doktor sekiranya anda mengalami sakit puting yang berterusan.

Artikel Lain