suria

Tempoh 72 jam selepas dirogol penting, ini perkara mangsa perlu buat dan elak!

Kebanyakan mangsa rogol berdepan trauma berpanjangan dalam hidup mereka. -Gambar hiasan

MANGSA serangan seksual pasti akan mengalami trauma, namun tindakan segera selepas kejadian adalah sangat penting.

Mengikut laman sesawang Sexual Assault Care Centre, tempoh 72 jam selepas kejadian rogol sangat mustahak untuk memastikan keselamatan diri mangsa.

Berikut adalah panduan ringkas tindakan yang boleh diambil oleh mangsa dalam tempoh 72 jam:

1. Keutamaan Keselamatan

- Jauhkan diri anda daripada pelaku atau tempat yang mungkin anda temui pelaku.

- Hentikan segala bentuk komunikasi dengan pelaku (contohnya panggilan, mesej, media sosial).

- Jika terdapat kecederaan, segera jumpa doktor atau hospital terdekat.

- Jika anda berada dalam keadaan bahaya, hubungi talian kecemasan.

2. Pengumpulan Bukti

Membuat laporan polis atau tidak adalahh hak anda. Bagaimanapun, bukti masih boleh dikumpulkan tanpa mengira keputusan tersebut.

Anda boleh mengumpulkan beberapa bukti sendiri seperti:

- Ambil gambar kecederaan fizikal atau lokasi kejadian, termasuk nama atau alamat lokasi (contohnya nama hotel atau nombor blok).

x (1)

Pengumpulan bukti sangat penting bagi memastikan pelaku tidak terlepas. -Gambar hiasan

- Hantar mesej atau hubungi seseorang yang anda percaya dan beritahu mereka apa yang berlaku (mereka boleh menjadi saksi sekunder nanti).

- Tulis penerangan terperinci (apa yang berlaku, siapa, bila dan di mana) dan hantar e-mel kepada diri sendiri yang mempunyai rekod masa. Anda juga boleh menghantarnya kepada seseorang yang anda percayai.

- Simpan pakaian, cadar atau objek lain yang berkaitan dengan tempat kejadian dalam beg plastik yang tertutup.

Jika anda memutuskan untuk membuat laporan:

- Elakkan mandi

- Elakkan menukar pakaian atau jika melakukannya, letakkan pakaian dalam beg plastik bersama barang peribadi lain

- Elakkan menyikat rambut

- Jangan membersihkan kawasan kejadian

Adalah normal untuk anda membersihkan diri selepas serangan. Namun, jika anda ingin membuat laporan, cuba elakkan berbuat demikian.

Bukti DNA boleh dikumpulkan daripada badan, pakaian atau barang peribadi anda dalam masa 72 jam pertama selepas serangan.

Polis mungkin merujuk anda untuk menjalani pemeriksaan di hospital bagi memelihara bukti DNA.

3. Sokongan

Adalah normal bagi mangsa untuk berada dalam keadaan terkejut atau bingung selepas kejadian.

Jika anda menjadi mangsa serangan seksual, sila ingat itu bukan salah anda.

Pemulihan mungkin memerlukan masa dan keberanian, tetapi tiada siapa yang perlu melalui pengalaman ini sendirian.

Artikel Lain