suria

Terlalu aktif derma sperma, lelaki ini bakal jadi bapa kepada 100 anak tidak lama lagi

Kyle aktif menderma sperma untuk pasangan yang bermasalah untuk hamil. -Foto Jam Press/@kylegordy1234

PADA usia 32 tahun, Kyle Gordy menerima gelaran sebagai penderma sperma paling prolifik di dunia dan dijangka menjadi bapa kepada 100 anak tidak lama lagi.

Kini, Kyle sudah menjadi bapa kandung kepada 87 orang anak di seluruh dunia dan pada awal 2025, dia dimaklumkan bilangan 'keluarganya' bakal bertambah.

Dalam beberapa bulan akan datang, penderma dari California, Amerika Syarikat ini dijangka secara rasmi mempunyai 100 orang anak – satu rekod yang hanya dipegang oleh tiga lelaki lain.

Anak sulung hasil sperma yang didermakannya kini berusia 10 tahun.

Di sebalik pencapaian ini, Kyle tidak bercadang untuk berhenti menderma sperma.

“Rasanya sangat hebat menjadi ayah kepada ramai anak. Saya gembira kerana dapat membantu wanita-wanita ini memulakan keluarga apabila mereka rasa ia mustahil.

Newborn baby feet in bed close up. Happy Family concept. Beautiful conceptual image of Maternity. Useful as greeting card. Selective focus

Anak merupakan anugerah yang terindah buat pasangan suami isteri. -Gambar hiasan

"Tetapi, saya masih jauh daripada memberi impak besar kepada populasi dunia secara keseluruhan. Saya tidak mempunyai jumlah sasaran anak.

"Jadi saya akan terus menderma sperma sehingga tiada lagi wanita yang memerlukan saya," kata Kyle kepada Jam Press.

Kyle, yang mempunyai lebih 3,000 pengikut di Instagram, menawarkan perkhidmatannya secara percuma melalui laman web 'Be Pregnant Now'.

Kyle, yang pernah muncul dalam rancangan popular TLC, 90 Day Fiancé, juga dikenali sebagai seorang lelaki romantis tetapi belum menemui pasangan hidupnya.

Sebagai penderma sperma dan pengembara, Kyle berkata dia memasang impian untuk mempunyai anak di setiap negara yang dikunjungi.

"Saya membantu orang mendapatkan anak di seluruh dunia, sesuatu yang kebanyakan orang anggap mustahil. Saya masih belum mempunyai anak di Jepun, Ireland, dan Korea kerana belum berpeluang pergi ke negara-negara tersebut untuk menderma.

"Mungkin 2025 akan menjadi tahun saya melakukannya. Siapa tahu, mungkin saya akan mempunyai seorang anak di setiap negara menjelang 2026," ujarnya.

Sebagai peringatan, perbuatan menderma sperma adalah diharamkan bagi orang Islam.

Artikel Lain