suria

Cantik tapi bahaya? Lampu terang di bandar besar tingkatkan risiko kena strok, penyelidik ada penjelasan

Kajian mendapati cahaya tiruan yang menerangi waktu malam boleh menjejaskan aliran darah ke otak. -Gambar hiasan FAIHAN GHANI/The Star

KAJIAN terbaharu mendedahkan lampu yang terang di bandar-bandar besar mungkin kelihatan menarik, tetapi ia juga boleh meningkatkan risiko strok seseorang.

Cahaya tiruan yang menerangi waktu malam nampaknya menjejaskan aliran darah ke otak, sekali gus meningkatkan risiko untuk terkena serangan strok, demikian lapor penyelidik.

Hasil kajian menunjukkan individu yang mempunyai tahap pendedahan tertinggi kepada cahaya luar pada waktu malam mempunyai 43 peratus peningkatan risiko penyakit yang menjejaskan saluran darah otak.

Ini termasuk arteri tersumbat yang menyekat bekalan darah otak dan pendarahan ke otak yang menjadi dua punca utama strok.

Berdasarkan keputusan itu, penyelidik dari Sekolah Perubatan Universiti Zhejiang di Hangzhou, China iaitu Jian-Bing Wang menggesa orang ramai agar mengurangkan pendedahan terhadap lampu pada waktu malam.

"Kami menasihatkan orang ramai, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar agar mempertimbangkan untuk mengurangkan pendedahan itu demi melindungi diri mereka daripada potensi kesan bahaya," ujarnya menerusi satu siaran berita.

Night atmosphere of River of Life around the Kuala Lumpur city centre.— SHAARI CHE MAT/The Star

Penyelidik juga mendapati pencemaran udara boleh meningkatkan risiko strok. -Gambar hiasan SHAARI CHE MAT/The Star

Penggunaan cahaya buatan yang berlebihan telah mengakibatkan empat perlima penduduk dunia tinggal dalam persekitaran yang berlakunya pencemaran cahaya, kata penyelidik itu lagi.

Untuk kajian itu, Wang dan rakan sekerjanya menganalisis data lebih daripada 28,300 orang dewasa yang tinggal di China.

Mereka menilai pendedahan responden kepada cahaya malam luar menggunakan imej satelit yang memetakan pencemaran cahaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Muda-muda pun kena strok! Ambil tahu gejala awal... Buat pemeriksaan kesihatan berkala

Responden dewasa ini tinggal di Ningbo, sebuah pelabuhan utama dan bandar perindustrian di pantai timur China dengan populasi lebih daripada 8.2 juta.

Dalam tempoh enam tahun (2015 hingga 2021), para penyelidik mendapati terdapat hampir 1,300 kes penyakit saluran darah otak.

Ia merangkumi 777 kes strok yang disebabkan oleh arteri tersumbat dan 133 strok yang disebabkan oleh pendarahan ke dalam otak.

Para penyelidik menyatakan pendedahan berterusan kepada cahaya terang pada waktu malam boleh menyekat pengeluaran melatonin, hormon yang menggalakkan tidur.

The night view of Kuala Lumpur city skyline with the slow shutter photography technique applied in the photo. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Lampu mungkin menyumbang kepada risiko strok dengan menjejaskan tidur yang nyenyak, kata penyelidik.-Gambar hiasan IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Oleh itu, lampu mungkin menyumbang kepada risiko strok dengan menjejaskan tidur yang nyenyak, kata penyelidik.

"Kita perlu membangunkan dasar dan strategi pencegahan yang lebih berkesan untuk mengurangkan beban penyakit daripada faktor persekitaran seperti cahaya serta pencemaran udara, terutamanya bagi orang yang tinggal di kawasan tercemar dan padat penduduk," kata Wang.

Para penyelidik juga mendapati pencemaran udara boleh meningkatkan risiko strok.

Orang yang terdedah kepada tahap pencemaran zarah tertinggi di udara - disebabkan oleh pembakaran bahan api, habuk atau asap - mempunyai 41 peratus hingga 50 peratus peningkatan risiko strok berbanding mereka yang paling kurang terdedah.

Pelepasan nitrogen oksida daripada trafik dan loji janakuasa industri meningkatkan risiko strok sebanyak 31 peratus kepada mereka yang paling terdedah, tambah penyelidik.

Kajian baharu itu muncul dalam jurnal Stroke. - US News

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain