suria

Tak sabar nak kahwin? Bakal suami kena ‘lulus’ 14 perkara ini sebelum lafaz “aku terima nikahnya”

Bakal pengantin perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. - Gambar hiasan

BAKAL raja sehari pastinya tidak senang duduk apabila tarikh pernikahan yang ditetapkan sudah semakin hampir.

Selain melakukan persiapan perkahwinan, anda juga perlu memastikan diri bersedia daripada segi mental dan fizikal kerana hidup berumahtangga menjanjikan 1,001 cabaran!

Bagi bakal suami, mStar senaraikan semula 14 tip yang dikongsikan seorang pelayar Twitter, Zafran Mustafa, sebagai persediaan yang boleh dilakukan.

Ops!! Anda yang masih single pun boleh amalkan juga ya supaya urusan lebih mudah dan menjadi sebati dengan jiwa anda, barulah tak kekok apabila bergelar suami.

1. Simpanan

Wujudkan simpanan atau tabung kahwin. Ini adalah perkara asas dan paling penting dilakukan. Kalau tak ada tabung kahwin, anda nak guna duit siapa nanti?

Jika 'duit bank' (pinjaman peribadi) lebih baik tidak usah kerana bimbang anak dah masuk sekolah rendah pun, hutang belum habis bayar.

2. Rancang kos majlis

Membuat perancangan rapi bersama bakal isteri tentang kos untuk majlis kedua-dua belah pihak.

Sama ada lebih RM30,000 atau tidak. Tapi jika mahu berjimat, buat secara ringkas seperti zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang menelan belanja kira-kira RM1,000 hingga RM5,000 sahaja kerana tiada majlis grand.

rumah

3. Sediakan rumah

Ramai orang salah faham tentang sediakan rumah ni kerana mereka beranggapan mesti beli rumah dahulu sebelum berkahwin.

Tidak semestinya jika belum mampu beli, tapi pastikan anda sudah sediakan rumah sewa untuk didiami bersama isteri.

Elakkan tinggal bersama orang tua mahupun mentua ya.

4. Kenderaan

Tapi macam biasalah perlu ikut kemampuan. Andai belum mampu memiliki kereta, guna saja motosikal yang penting mempunyai kenderaan untuk memudahkan pergerakan anda bersama pasangan.

Jika ingin beli kereta kerana isteri hamil, pastikan ansuran kereta tu tidak lebih 15 peratus daripada gaji bulanan anda.

5. Nafkah

Jika anda rasa nak buat lupa tentang perkara ini, lebih baik jangan berkahwin ya!

Berapa banyak nak bagi pada isteri adalah tersangat subjektif tapi ia perlu dilakukan meskipun gaji isteri lebih besar.

6. Simpanan kecemasan

Sediakan simpanan kecemasan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan.

Iyalah, zaman bujang anda boleh makan nasi kosong bersama kicap dan cili potong jika tiada duit.

Tapi apabila sudah berkahwin, mesti tak tergamak untuk buat begitu dengan isteri kan?

7. Pengurusan kewangan

Meskipun anda belum mempunyai sumber pendapatan yang stabil, pastikan diri sudah bersedia dengan perancangan serta cara menguruskan kewangan dengan baik.

Barulah keluarga bakal isteri rasa 'selamat' nak lepaskan anak mereka.

8. Buat kira-kira kewangan

Sebaiknya kena plan sebab kos sebelum dan selepas kahwin sangat berbeza. Sebelum kahwin boleh duduk bilik sharing dua hingga tiga orang.

Selepas kahwin kena sewa satu rumah dan semestinya isu tahunan bagi setiap pasangan.

Kalau sebelum kahwin, anda bebas untuk pulang ke kampung halaman sendiri tapi selepas kahwin kena fikirkan juga isteri. Kos juga bertambah.

9. Rendahkan ego

Kena belajar rendahkan ego. Mesti ramai yang sudah maklum dengan kata-kata 'perempuan, mana pernah buat silap' bukan?

Jadi, nanti kalau isteri tiba-tiba merajuk, anda pergi sahaja minta maaf saja walaupun tak salah.

lepak mamak

10. Hentikan budaya lepak

Kalau sebelum kahwin anda gemar menghabiskan masa bersama teman-teman sambil melepak di kedai mamak.

Tapi selepas berkahwin, janganlah buat perangai sama, hentikan.

11. Kawal penggunaan telefon

Kurangkan main permainan video di telefon pintar.

Ingat! Kehidupan selepas berkahwin tidak sama seperti zaman bujang kerana isteri juga perlu diberi perhatian.

12. Banyak membaca

Tambah ilmu munakahat perkahwinan, ilmu fiqh wanita. Iyalah, sebagai ketua keluarga anda kenalah tahu jenis-jenis darah yang keluar daripada perempuan dan tahu tentang mana yang haram, mana yang halal dalam hubungan seksual.

13. Belajar jadi imam

Sebolehnya hafal beberapa surah lazim supaya boleh dibaca semasa jadi imam kepada isteri nanti.

Jangan rasa rendah diri kalau tak hafal surah panjang-panjang yang penting sentiasa solat berjemaah supaya rumahtangga lebih berkat.

14. Rancang kewangan sebelum anak pertama lahir

Perkara ini ramai yang terlupa. Tahun 2022 ni bukan lagi zaman yang suami sahaja kerja, isteri duduk rumah jaga anak kerana duit tidak akan cukup jika amalkan cara begitu melainkan anda bergaji besar.

Sekarang ini, zaman suami isteri kena bekerja dan pastinya kos untuk anak perlu dititikberatkan terutama lampin pakai buang sehinggalah pengasuh.

Paling kurang kos untuk anak pertama sahaja RM500 sebulan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain