suria

Mak ayah jangan pandang remeh! Hidung tersumbat, gatal antara gejala resdung... kanak-kanak boleh alami pendarahan

Hidung tersumbat dan selesema antara simptom yang disebabkan oleh resdung. -gambar hiasan foto Freepik/Drazen ZIGIC

ANAK-anak kecil yang aktif, lasak dan lincah sudah jadi lumrah.

Namun, ibu bapa tidak seharusnya memandang remeh terhadap kebiasaan itu kerana ia boleh menyebabkan mereka kurang peka terhadap perubahan yang dialami anak-anak.

Jika anak anda mengalami hidung tersumbat, selesema dan gatal-gatal, kemungkinan ia merupakan simptom yang disebabkan oleh resdung.

Keadaan lain yang sering terjadi kepada kanak-kanak yang perlu diberikan perhatian secara serius adalah pendarahan hidung.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Juani Hayyan Abdul Karaf berkata, resdung atau Allergic Rhinitis ialah keradangan di lapisan dalam hidung.

Menurut Dr Juani, 80 peratus daripada kes resdung dalam kalangan kanak-kanak berlaku kerana mempunyai sejarah keluarga mengalami atopi (alahan), manakala pendarahan hidung juga kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak, terutama yang berusia antara enam dan 10 tahun.

"Resdung yang tak terkawal atau dirawat boleh mengganggu konsentrasi kanak-kanak semasa melakukan aktiviti harian, terutama ketika dalam kelas dan ketika aktif melakukan aktiviti di luar.

"Pendarahan hidung juga boleh menyebabkan kanak-kanak, ibu bapa dan guru panik jika mereka tidak tahu bagaimana dan apa yang harus dilakukan semasa berlakunya pendarahan hidung tersebut," katanya kepada mStar.

hidung berdarah 1

Resdung boleh menyebabkan pendarahan hidung

Faktor alahan

Dr Juani berkata, resdung dan pendarahan hidung kerap berlaku pada kanak-kanak berumur antara tiga dan 10 tahun, namun kebarangkalian untuk dua perkara itu berlaku akan meningkat kepada 56 peratus ketika kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun.

Bagi mengenal pasti jika seseorang kanak-kanak itu mengalami resdung, Dr Juani yang juga Pakar Bedah Kepala dan Leher berkata, terdapat dua jenis resdung yang utama:

1. Resdung Bermusim (berlaku pada masa-masa tertentu dalam setahun).

2. Resdung Berpanjangan (berlaku sepanjang tahun).

Pendarahan hidung boleh berlaku kepada kedua-dua jenis resdung.

Kanak-kanak yang mengalami penyakit alahan lain seperti ekzema, alahan makanan dan asma adalah lebih cenderung untuk mengalami resdung.

Sebab alahan:

Seperti debunga, debu, najis lipas, kelemumur binatang, kulat, hama dan asap tembakau.

Gejala resdung:

Hidung berair, gatal-gatal, bersin, hidung tersumbat, mata merah, masalah telinga akut atau kronik.

dr juani

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di SMCV, Dr Juani Hayyan Abdul Karaf.

Mengulas lanjut, Dr Juani memberitahu, resdung berlaku disebabkan oleh sistem imun yang terlalu sensitif dan bertindak balas kepada allergen (penyebab alahan), yang mana ia juga adalah sejenis reaksi hipersensitiviti.

"Pendarahan hidung pula adalah disebabkan luka pada bahagian depan septum hidung, di mana kawasan ini panggil 'little's area'.

"Ia adalah kawasan di mana lima salur darah bertemu. Salur darah akan lebih membengkak jika seseorang itu mengalami resdung dan lapisan di kawasan ini akan mengalami keradangan yang sensitif dan menyebabkan ia senang terluka.

"Jika seseorang itu mengorek, menggaru atau menghembus hidung secara terlalu kuat atau kasar, perbuatan ini boleh menyebabkan kawasan litte's area ini terluka dan berlakunya pendarahan hidung," katanya.

Penyebab penyakit lain?

Dr Juani memberitau, resdung boleh menyebabkan ventilasi sinus di dalam tengkorak tersumbat dan seterusnya menjadi masalah sinus yang kronik.

Jelasnya lagi, masalah resdung yang tidak dirawat akan menyebabkan pendarahan hidung lebih kerap berlaku.

"Pendarahan hidung yang terlalu kerap, dan secara berlebihan perlu diperiksa untuk mengetahui jika ada punca lain yang menyebabkan pendarahan tersebut berlaku seperti adanya ketumbuhan di dalam hidung atau masalah kecairan darah," ujarnya.

Little girl is blowing her nose near spring tree in bloom

Debunga boleh menyebabkan alahan kepada kanak-kanak.

Mengenai diagnosis resdung, Dr Juani menjelaskan bahawa caranya ialah dengan mengetahui sejarah kesihatan dan simptom yang dialami pesakit.

Jelasnya, jika pesakit kerap mengalami hidung tersumbat, selsema, gatal hidung dan bersin, Skin Prick test (in vivo) atau Specific IgE blood test (in vitro) boleh dilakukan untuk mengetahui allergen yang menyebabkan masalah alahan pesakit.

"Untuk pendarahan hidung, katanya, prosedur skop hidung yang hanya dilakukan di klinik perlu dilakukan untuk melihat keadaan dalam hidung dan mencari punca kepada pendarahan hidung tersebut," ujarnya.

Berkongsi pengalaman, Dr Juani berkata, kanak-kanak selalunya akan menunjukkan simptom resdung pada waktu malam dan pagi dan gejala ini termasuklah tidak dapat tidur lena disebabkan hidung tersumbat serta kerap mendapat jangkitan lain dari sekolah.

"Ramai kanak-kanak berasa lebih selesa dan lebih fokus untuk belajar dan bermain selepas mereka mula mendapatkan rawatan untuk penyakit resdung mereka.

"Apabila mereka mula mendapatkan rawatan resdung, kekerapan pendarahan hidung juga akan berkurang," kata Dr Juani yang mempunyai minat mendalam untuk merawat kanak-kanak yang mempunyai masalah ENT.

SMCV

Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) mempunyai kepakaran dalam rawatan resdung.

Dr Juani berkata, antara rawatan resdung adalah termasuk semburan kortikosteroid ke dalam hidung yang berfungsi sebagai terapi awal yang selamat dan berkesan bagi resdung.

Tambah beliau, steroid dalam semburan nasal bertindak secara topikal pada lapisan mukosa yang mengalami radang selain berperanan sebagai agen antiradang dan mengurangkan bengkak pada mukosa dengan risiko kesan sampingan steroid secara sistemik yang sangat rendah.

"Pemilihan tablet atau ubat cecair antihistamin yang tepat juga boleh merawat resdung dengan mengurangkan keradangan yang disebabkan tindak balas alahan di dalam hidung," katanya.

Kenal pasti alahan

Bagaimanapun, Dr Juani mendapati ramai ibu bapa tidak mengetahui bahawa resdung perlu dirawat dan dikawal untuk memberi kelesesaan kepada anak-anak mereka.

Jika keadaan tersebut dibiarkan berterusan, katanya, ia akan mengganggu fokus anak mereka untuk belajar dan menimbulkan perasaan malu untuk bersosial disebabkan oleh hingus yang banyak dan kerap mengalami hidung berdarah.

"Jadi, amat penting untuk ibu bapa mengenal pasti apa alahan anak mereka melalui ujian alahan, dan seterusnya dapat membantu mereka untuk mengelakkan anak daripada terdedah kepada allergen.

"Secara tidak langung, ia turut dapat membantu mengawal simptom resdung dan pendarahan hidung dengan lebih mudah," kata Dr Juani yang juga menasihati penjaga dan pengasuh selain ibu bapa mengenai resdung dan pendarahan hidung dalam kalangan kanak-kanak.

Dr Juani juga merupakan seorang pakar bedah kepala, leher, serta merawat ketulan atau ketumbuhan benign atau malignant di leher contohnya Parotid dan Thyroid.

Selain itu, Dr Juani adalah pakar dalam penyakit berkaitan telinga, pendengaran, vertigo dan tinnitus, hidung, sinus, tekak, peti suara, dan masalah menelan dalam kalangan pesakit dewasa dan kanak-kanak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain