suria

Sindrom janin ‘ikan duyung’, doktor minta usah kaitkan dengan kenan... “Ini kepercayaan khurafat, tahyul dan syirik”

Sindrom 'ikan duyung' berlaku satu dalam 100,000 kehamilan.

KECACATAN bayi dapat dilihat melalui struktur atau fungsi tubuh badan yang tidak normal selepas dilahirkan.

Kecacatan bayi sebenarnya boleh dikesan ketika tiga bulan pertama kehamilan.

Namun begitu, tidak semua kecacatan bayi adalah berbahaya. Terdapat juga kecacatan yang minor namun mungkin akan memberi kesan terhadap penampilan dan fungsi organ bayi selain menyebabkan ketidakupayaan mental dan fizikal.

Namun ada juga kecacatan bayi yang boleh mendatangkan kematian.

hamil 1

Ibu hamil yang mempunyai diabetes berisiko untuk perkembangan janinnya.

Konsultan Obstetrik dan Ginekologi, Dr Imelda Balchin berkongsi mengenai salah satu jenis kecacatan janin yang jarang dijumpai, dikenali sebagai sindrom 'mermaid' atau ikan duyung.

"Nama perubatan mermaid syndrome ialah Sirenomelia. Ini ialah kecacatan pembentukan janin di dalam kandungan sebelum ia dilahirkan.

"Sirenomelia berlaku satu dalam 100,000 kehamilan. Tetapi kebanyakannya tidak boleh hidup dan gugur atau meninggal dunia selepas dilahirkan sebab kecacatan mereka sangat serius," kongsinya dalam satu hantaran di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai bimbang keguguran, bayi cacat... benarkah ibu hamil kena pantang kopi?

Menurutnya Dr Imelda, apa yang terjadi ialah kecacatan di dalam pembentukan saluran darah ke bahagian bawah badan dan kaki.

"Sebelum bahagian organ badan boleh terbentuk, kena ada saluran darah ke bahagian organ ini dulu. Tanpa pengaliran darah, organ-organ tidak boleh terbentuk dan gagal berfungsi.

"Jadi, bergantung kepada banyak mana saluran darah yang normal, sirenomelia ini juga ada jenis yang sangat serius di mana tidak ada dua kaki, tidak ada tulang belakang yang sempurna, tidak ada pembentukan kemaluan perempuan atau lelaki dan tidak ada pembentukan buah pinggang.

"Apa yang menyebabkan kematian selepas bersalin ialah tiada buah pinggang," ulasnya.

Daripada segi pembentukan kaki, sirenomelia terbahagi kepada tujuh kategori, bergantung kepada apakah tulang kaki yang terbentuk.

dr imelda

Konsultan Obstetrik dan Ginekologi, Dr Imelda Balchin.

"Bayi ini akan dibesarkan sebagai seorang perempuan, sebab tidak ada pembentukan kemaluan lelaki, walaupun kebanyakannya sebenarnya ialah lelaki. Kita tahu lelaki melalui baka DNA nya.

"Kesemua mereka ada hanya satu lubang untuk buang air kecil dan buang air besar.

"Tetapi kebanyakannya tidak boleh hidup selepas dilahirkan jika tiada fungsi buah pinggang," hurai Dr Imelda.

Tambah doktor ini lagi, hanya ada beberapa kes bayi sirenomelia yang hidup seperti Tiffany York (27 tahun), Milagros Cerron (15 tahun) dan Shiloh Pepin (10 tahun) sebab ada sedikit fungsi buah pinggang dan menjalani pelbagai pembedahan.

"Kesemua janin sirenomelia yang saya sudah jumpa setakat ini tidak boleh hidup, dan ibu-ibu janin ini ada diabetes yang tidak dikawal.

"Diabetes yang tidak dikawal sebelum kehamilan dikaitkan dengan beberapa jenis kecacatan bayi. Jika diabetes dikawal dengan baik, pelbagai kecacatan pembentukan janin di dalam kandungan boleh dicegah.

"Mohon anda semua jangan percaya kepada kenan. Inilah kepercayaan khurafat, tahyul dan syirik. Kita hanya perlu tambahkan ilmu pengetahuan.

"Sebab inilah sangat penting anda semua yang ada obesiti buat ujian saringan memastikan anda tiada diabetes sebelum hamil, dan jika ada diabetes anda pastikan diabetes itu dikawal dulu sebelum hamil," kongsinya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain