suria

Pilu semua keperluan belajar dihanyutkan banjir, pelajar terkejut wakil universiti hadiahkan laptop baharu

Muhammad Hakimi (kanan) bersyukur menerima 'rezeki terpijak' sebuah komputer riba baharu daripada wakil Usim pada Jumaat di kediamannya di Hulu Langat, Selangor.

PERASAAN sedih dan pilu menyelubungi Muhammad Hakimi Alif Rahman saat melihat kediamannya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat Selangor ditenggelami banjir besar baru-baru ini.

Bukan sahaja banjir telah memusnahkan pelbagai harta benda, keperluan pembelajaran penuntut Fakulti Sains dan Teknologi Sains Islam Malaysia (Usim) ini turut rosak.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya linangan air mata gambarkan perasaan melihat kesan banjir di Janda Baik, A. Aida mahu teruskan bantuan di 10 lokasi lain

"Semasa air semakin naik, komputer riba yang saya gunakan selama ini untuk belajar tidak sempat diselamatkan dan hilang dibawa arus banjir. Melihat pelbagai peralatan di dalam rumah musnah dan rosak teruk memang menyedihkan.

"Alhamdulillah Usim sentiasa prihatin dengan kebajikan pelajar dan saya terima komputer riba baharu sebagai ganti," katanya.

Hakimi merupakan antara lima kumpulan pelajar Usim terawal yang merima sumbangan komputer riba baharu bagi menggantikan komputer riba mereka yang hilang dan rosak kerana bencana banjir.

file7j03u8m6iti4rmmrm8p

Hulu Langat antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.

Sumbangan komputer riba ini telah diserahkan oleh wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar pada Jumaat lalu di kediaman masing-masing di Kuantan, Pahang dan Hulu Langat, Selangor.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailan, Usim mengambil langkah proaktif seperti ini kerana cakna dan prihatin terhadap kejadian bencana banjir luar biasa ini telah merosakkan dan memusnahkan komputer riba yang digunakan mereka dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) sebelum ini.

“Sebagai permulaan, pengurusan universiti telah meluluskan perolehan sebanyak 22 buah komputer riba melalui Pusat Wakaf dan Zakat Usim untuk diagihkan segera kepada pelajar yang terkesan.

“Memfokuskan sumbangan kepada pelajar di peringkat Sarjana Muda, penggantian segera komputer riba baharu ini bagi memastikan proses PdP mereka tidak terjejas terutamanya ketika ini proses PdP masih dilaksanakan secara dalam talian akibat penularan pandemik Covid-19,” tambahnya.

Sehingga 24 Disember 2021, seramai 119 orang pelajar Usim direkodkan terkesan dengan banjir dan universiti bersedia mempertimbangkan sumbangan tambahan komputer riba sekiranya terdapat keperluan.

Selain itu, Usim turut menyelaraskan bentuk bantuan lain kepada pelajar yang terjejas banjir antaranya pembersihan kediaman, bantuan makanan kering, wang tunai, bantuan psikologi dan penginapan sementara di kolej kediaman dan rumah tamu universiti.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain