suria

Bukan susah sangat nak menggoreng... ini 5 kesalahan yang sering dilakukan!

Kerja-kerja menggoreng mungkin nampak mudah tapi ramai melakukan kesilapan.

MESKIPUN kurang baik untuk kesihatan namun makanan bergoreng memang disukai ramai kerana rasanya lebih lazat.

Bagaimanapun ramai tidak menyedari bahawa ada beberapa kesalahan yang dilakukan ketika menggoreng makanan yang membuatkan rasanya berbeza.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna minyak masak berulang kali penyebab batuk, sakit tekak

Berikut adalah lima kesalahan ketika menggoreng yang kerap kita lakukan tanpa disedari.



Minyak terlalu panas boleh menyebabkan masakan cepat hangus atau bahagian dalam tidak masak sekata.

1. Minyak terlalu panas

Katakanlah anda menggoreng ayam, pastikan kuali berada dalam suhu yang tepat. Untuk itu, gunakan minyak dengan suhu di antara 162 hingga 198 darjah celcius.

Suhu yang terlalu tinggi membuatkan sesuatu makanan itu terlalu cepat dimasak dan menjadi kering, atau lebih buruk lagi - bahagian dalamnya tidak masak dengan sempurna.



Gunakan thermometer bagi memeriksa suhu minyak sebelum menggoreng.

2. Kurang panas

Minyak yang kurang panas juga akan mengurangkan rasa makanan dan membuatkannya berminyak apabila diangkat.

Sebaik-baiknya, guna thermometer ketika menggoreng makanan untuk memastikan suhunya tepat.



Penggunaan jenis minyak yang betul juga sangat penting.

3. Minyak yang salah

Elakkan menggunakan minyak seperti zaitun atau jagung untuk menggoreng makanan yang memerlukan penggunaan minyak yang banyak (deep fried).

Sebaliknya gunakan minyak kacang, kelapa atau sawit kerana ia mempunyai rasa yang neutral dan tidak menggangu atau mengubah rasa makanan anda.



Menggoreng dalam kuantiti yang banyak pada satu masa juga boleh menyebabkan masakan tidak masak sekata.

4. Menggoreng dalam kuantiti banyak

Nak jimatkan masa, selalunya kita akan goreng dalam kuantiti yang banyak namun sebenarnya tindakan itu salah.

Ini kerana ketika menggoreng, makanan perlukan ruang untuk bergerak agar dapat masak dengan rata dan sempurna.



Mengulang pakai minyak lama tidak digalakkan.

5. Guna minyak terpakai

Jangan gunakan kembali minyak yang sudah digunakan dua ke tiga kali sebelum ini untuk menggoreng. Menggunakan minyak terpakai membuatkan makanan lebih berminyak dan meninggalkan rasa kurang enak.

Selain itu, menggunakan minyak terpakai boleh meningkatkan risiko pembentukan lemak dalam badan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Minyak, Kelapa, Sawit, Zaitun, Kuali, Panas

Artikel Lain