Bahaya virus influenza boleh bawa maut, apa kata semak 5 tip dikongsi Dr Say - Famili | mStar

Bahaya virus influenza boleh bawa maut, apa kata semak 5 tip dikongsi Dr Say

Terlalu banyak rakyat Malaysia yang masih menyalahertikan demam selesema biasa dan virus influenza.

SEBAHAGIAN rakyat Malaysia ternyata masih keliru dalam membezakan antara influenza dan demam selesema biasa, hakikatnya flu lebih berbahaya malah dapat menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa, malahan boleh membawa maut. 

Menurut Pengerusi Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG), Profesor Dr Zamberi Sekawi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 1 bilion kes influenza berlaku setiap tahun dan daripada angka itu, antara tiga hingga lima juta dalam kategori serius hingga mengakibatkan 650,000 kematian di seluruh dunia. 

Kebiasaannya, influenza lebih berbahaya bagi wanita hamil, kanak-kanak bawah usia lima tahun, dewasa melebihi 65 tahun dan individu bermasalah kesihatan seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. 

Flu atau influenza adalah jangkitan hidung, tekak, dan paru-paru yang disebabkan oleh virus influenza dan ia mudah berjangkit serta merebak terutama ketika cuaca sejuk. 

Virus influenza boleh berjangkit melalui pembawaan udara.

Tidak seperti di negara beriklim sederhana, di negara tropika seperti Malaysia, musim puncak bagi influenza berlaku dari Oktober hingga Januari dan April hingga Jun setiap tahun dengan jangkitannya berlaku sepanjang tahun. 

Secara umumnya, virus influenza boleh terbahagi kepada beberapa jenis dan dikategorikan sebagai influenza A, B dan C. 

Jenis A : Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, epidemik sangat teruk dan berbahaya. 

Jenis A (H1N1): Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, kadangkala pandemik (seperti pada 2009 dan 2013) dan amat berbahaya.

Jenis B : Boleh menjangkiti manusia kerana ia sering berlaku dan kesannya berubah-ubah di mana ada kalanya tidak teruk, ada kalanya berbahaya dan tidak pandemik. 

Jenis C: Boleh menjangkiti manusia. Ringan, jarang berlaku dan bukan epidemik. 

Jangkitan virus influenza mudah berlaku di negara bercuaca sejuk.

Virus influenza tersebar melalui pembawaan udara terutamanya di tempat sesak dan tertutup, manakala ia juga berlaku melalui hubungan secara langsung dengan titisan cecair yang tersebar semasa batuk dan bersin serta tangan yang tercemar. 

Jangkitan influenza ini hanya boleh disahkan melalui sampel cecair hidung, namun adakalanya ujian saringan sedemikian tidak 100 peratus tepat. 

Bercakap mengenai virus ini, pengacara dan doktor selebriti, Dr Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr Say tidak ketinggalan berkongsi beberapa tip kepada mStar  mengenai cara mencegah jangkitan influenza. 

Berikut antara lima tips yang boleh diikuti supaya tidak dijangkiti virus influenza : 

Dr Say kongsi 5 tips pencegahan virus influenza.

1) Jaga kebersihan 

Sering kali kita terlihat, ramai orang yang menutup mulut atau hidungnya ketika bersin dan juga batuk. Tetapi perlu diingatkan juga supaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih yang mengalir supaya kuman di telapak tangan tidak tersebar di merata tempat. Secara tidak langsung dapat mengelakkan virus influenza ini dijangkiti. 

2) Pakai topeng muka

Tutup mulut atau hidung dengan tisu kering apabila batuk atau bersin. Selain itu, pakai topeng muka supaya titisan cecair dari mulut dan hidung tidak tersebar ke orang lain. 

3) Jauhi tempat sesak

Apabila terkena jangkitan selesema ataupun flu, jauhkan diri daripada tempat yang sesak. Juga elakkan diri daripada mendekati orang-orang yang batuk atau selesema dan hindari bersentuhan dengan orang luar negara atau pelancong asing yang dijangkiti influenza atau flu burung. 

Memakai penutup muka (face mask) dapat elakkan titisan cecair dari mulut dan hidung tersebar pada orang lain.

4) Pemakanan dan diet sihat 

Jamah hidangan mengikut piramid makanan seimbang dan tidak membeli makanan luar yang terdedah di persekitaran kotor. Selain itu, galakkan diri untuk lebih aktif bergerak dan berpeluh dalam kehidupan seharian. 

5) Vaksin flu

Ibu bapa perlu prihatin terhadap anak-anak yang berumur di bawah lima tahun kerana kelompok itu lebih berisiko berbanding kategori yang lain. Kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan lebih banyak udara, makanan dan minuman mengikut kuantiti pembesaran serta pertumbuhan diri. 

Cara paling berkesan untuk mengubatinya ialah melalui vaksinasi kerana ia lebih selamat dan berkesan untuk kanak-kanak, malah pendekatan itu sudah digunakan sejak lebih 60 tahun. 

Mengulas lanjut, Dr Say yang ditemui ketika majlis pelancaran kempen Flu Prevention Is An Act Of Love mengakui ada benarnya dengan kenyataan bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubati. 

Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Malahan, beliau turut menasihati kelompok remaja dan dewasa supaya sentiasa sedar dan menjaga kesihatan agar tidak dijangkiti virus influenza.  

"Bila imuniti badan rendah, kita senang dijangkiti penyakit. Imuniti badan boleh rendah jika kita kurang rehat, stres, pemakanan dan diet yang tidak seimbang serta waktu tidur yang tidak cukup," katanya.

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa dan penjaga perlu ingat jika keimunan kanak-kanak bawah lima tahun dan warga tua berusia 65 tahun ke atas ini pada tahap rendah, akan lebih senang dijangkiti demam, juga batuk dan selesema. 

"Jadi amalkan gaya hidup sihat, dapatkan vaksin supaya kita dapat kurang komplikasi dan tidak mudah dijangkiti virus influenza," katanya.

Influenza , Dr Say Shazril

Artikel Sebelum

Ketahui rahsia ‘besar’ cili hijau

Artikel Berikut

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

Artikel Lain