suria

Oktober datang lagi... Ayuh tingkatkan kesedaran kanser payudara sambil menderma!

Hilton Kuala Lumpur melancarkan Pink Hope Afternoon Tea iaitu program kemasyarakatan kolaborasi bersama Estee Lauder Malaysia dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kanser payudara menerusi minum petang sambil menderma.

KANSER payudara dilaporkan menjadi faktor utama kematian dalam kalangan wanita malah menurut laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dianggarkan 27 wanita daripada setiap 10,000 penduduk menghidap penyakit itu.

Atas kesedaran itu juga sejak 2016, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menganjurkan KL Pink October dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kanser payudara.

ARTIKEL BERKAITAN: Tip kesan kanser payudara

ARTIKEL BERKAITAN: Kurangkan risiko diserang kanser payudara, caranya...bangun awal pagi!

Kempen yang terbahagi kepada dua segmen iaitu KL Pink Project dan KL Pink October itu bakal memperlihatkan pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk aktiviti turun padang di Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam melibatkan 10 lokasi di sembilan kawasan Parlimen sepanjang bulan ini.

Oktober adalah bulan kesedaran mengenai kanser payudara. 

Menariknya mengenai kempen pada tahun ini, HKL bukan sahaja memfokuskan kepada golongan wanita tetapi ingin menarik setiap anggota masyarakat dalam memahami tentang penyakit tersebut.

Dan sudah tentu penekanan turut diberikan terhadap aspek penjagaan kesihatan, kecergasan, kebajikan, saringan, sumbangan dan kesedaran tentang kanser payudara.

Selain klinik saringan, aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan ialah pameran kanser payudara, pemeriksaan kesihatan, klinik berhenti merokok, senam sihat, pameran kesihatan awam, pameran bantuan asas kecemasan serta banyak lagi aktiviti.

Kempen ini juga nampaknya tidak terhad kepada tanggungjawab kerajaan sahaja malah hotel terkenal Hilton Kuala Lumpur turut melancarkan Pink Hope Afternoon Tea iaitu program kemasyarakatan kolaborasi bersama Estee Lauder Malaysia dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kanser payudara.

Setiap pembelian set minum petang di Hilton Kuala Lumpur sebanyak RM30 akan disumbangkan ke Tabung Amanah Kanser Payudara Malaysia Estee Lauder. 

Sehubungan itu, hotel berkenaan menyediakan hidangan istimewa termasuk manisan sebagai minum petang menggunakan pelbagai bahan menyihatkan termasuk buah beri, ubi bit merah yang kaya dengan antioksidan dan mempunyai pelbagai khasiat termasuk mencegah kanser.

Hidangan itu bukan sahaja menyelerakan malah setiap RM30 daripada pembelian ia akan didermakan ke Tabung Amanah Kanser Payudara Malaysia Estee Lauder.

Sebagai penghargaan kepada pelanggan, Estee Lauder juga akan memberi hadiah buat semua tetamu.

Pink Hope Afternoon Tea berharga RM149 untuk seorang dan tawaran itu sehingga 31 Oktober ini di The Lounge, Hilton Kuala Lumpur.

Artikel Lain