suria

Nikmatnya makan seafood premium pada harga bajet! Ombak Kitchen tawar set makan tengah hari mampu bayar selepas badai Covid-19

Set Lunch Menu yang ditawarkan di Ombak Kitchen Bangsar berharga RM29.90 setiap pax. Foto: The Star/ Azlina Abdullah

MASIH lagi terbayang-bayang keenakan 'seafood spread' disirami sos istimewa ketika kunjungan pertama kali penulis ke restoran ini, September tahun lalu.

Dek kerana keenakan yang membuai-buai itulah membawa kaki penulis untuk berkunjung kali kedua ke restoran ini.

Terletak tidak jauh dari ibu kota Kuala Lumpur, penulis berkunjung ke cawangan Ombak Kitchen yang terletak di Bangsar untuk menikmati makanan tengah hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Menu makanan laut harga berbaloi, sos ‘signature’ Ombak Kitchen menjilat jari...rasa sekali pasti nak datang lagi!

Sebaik sahaja duduk di meja, datang seorang pelayan membawakan menu sambil memberi penerangan serba ringkas mengenai set hidangan yang disajikan mereka.

Kebetulan, kunjungan baru-baru ini ibarat 'langkah kanan' apabila Ombak Kitchen baru sahaja memperkenalkan set 'Lunch Menu'.



Tiga daripada lima pilihan sos yang ditawarkan untuk set Lunch Menu di Ombak Kitchen Bangsar.

Menariknya, set Lunch Menu yang diperkenalkan ini adalah buah tangan istimewa daripada Ombak Kitchen untuk dinikmati para pelanggannya yang terdiri daripada setiap lapisan masyarakat, dengan harga yang amat berbaloi.

"Kita tahu, pasca Covid-19, ramai yang terkesan. Jadi kita sasarkan untuk tarik lebih ramai pelanggan tanpa mengira lapisan masyarakat untuk menikmati makanan laut premium dengan harga yang berpatutan dan berbaloi.



Pengurus Pemasaran Ombak Kitchen, Nurul Fakri Arshad (kiri) bersama Chef Wazir.

"Ini termasuklah golongan B40 sebab kita faham, akibat Covid-19 ni macam-macam terjadi. Ada orang boleh berbelanja, ada yang tak boleh berbelanja.

"Kita tak mahu orang yang terkesan ni ketinggalan walaupun mereka ada keinginan untuk datang makan. Itulah faktor kita keluarkan set Lunch Menu," kata Pengurus Pemasaran Ombak Kitchen, Nurul Fakri Arshad.



Signature Ombak Crazy Cajun Sauce

Set Lunch Menu menawarkan makanan laut yang disediakan dalam bentuk set individu, dengan pelanggan boleh memilih kombinasi dua jenis makanan laut yang ditawarkan.

Terdapat lima pilihan sos yang disajikan bersama makanan laut, yang mana pelanggan boleh memilih antara Signature Ombak Crazy Cajun Sauce, Creamy Butter Milk Sauce, Cheesy Zesty Lemon Butter Sauce, Creamy Tom Yam Sauce dan Peranakan Seri Nyonya Sauce.

Jangan terkejut, harga yang ditawarkan tersangatlah mampu bayar iaitu RM 29.90/pax, termasuk minuman dan nasi.



Creamy Butter Milk Sauce

"Namun harga RM 29.90 ini kita belum tolak lagi diskaun 20 peratus yang ditawarkan sehingga hujung tahun ini," kata Nurul Fakri lagi.

Set ini boleh dinikmati setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 12 tengah hari sehingga 2 petang.



Cheesy Zesty Lemon Butter Sauce

Penulis dan rakan memilih tiga set Lunch Menu dengan pilihan sos Signature Ombak Crazy Cajun Sauce, Creamy Butter Milk Sauce, Cheesy Zesty Lemon Butter Sauce.

Sebagaimana pengalaman sebelum ini, pengalaman menikmati set baharu pada kali ini sangatlah berbaloi dan tidak mengecewakan. Bak kata orang putih, 'marvelous!'



Ombak Kitchen cawangan Bangsar yang terletak di Lucky Garden.

Terasa kesegaran makanan laut pada setiap gigitan, ditambah pula dengan saiz udang dan sotong yang besar, dilengkapi pula dengan sos yang enak dan ada kelas tersendiri, memang membuatkan pelanggan pulang dengan senyuman lebar.

Bagi yang ingin mencuba keenakan hidangan makanan laut premium dengan harga berpatutan, bolehlah berkunjung ke cawangan Ombak Kitchen yang terletak di Bangsar. Selamat mencuba!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain