suria

Malaysia tersenarai dalam 5 negara terbaik bagi Anugerah Gold Circle Agoda ke-14

Malaysia mendapat pengiktirafan serantau apabila muncul dalam senarai lima negara terbaik Anugerah Gold Circle Agoda (GCA) ke-14.

MALAYSIA mendapat pengiktirafan serantau apabila muncul dalam senarai lima negara terbaik menerusi 174 premis penginapan bagi Anugerah Gold Circle Agoda (GCA) ke-14, anjuran platform percutian digital itu.

Anugerah tahunan tersebut diberikan kepada premis penginapan yang berjaya membuktikan kecemerlangan dari segi nilai, harga, perkhidmatan dan fleksibiliti yang ditawarkan kepada tetamu.

Ia dianugerahkan kepada lebih 2,000 premis penginapan di 41 buah pasaran, susulan pembukaan semula pelancongan antarabangsa di seluruh dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Wah! 24 gelongsor air, 15 tarikan utama... taman air SplashMania menanti anda Januari 2023

Premis penginapan atau hotel-hotel ini telah bekerjasama secara proaktif dengan Agoda untuk sentiasa merebut peluang yang tersedia kepada para rakan niaga dan menetapkan tanda aras baharu bukan sahaja untuk mereka sendiri tetapi juga untuk industri.

Menurut Naib Presiden Perkhidmatan Rakan Niaga Agoda, Liyana Jamil, Anugerah Gold Circle telah memberi peluang kepada Agoda untuk mengiktiraf rakan niaga yang memajukan perkhidmatan dan hospitaliti.

"Anugerah Gold Circle juga meneruskan tradisi untuk membantu pasukan Agoda di seluruh dunia untuk menilai perubahan dinamik industri, menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih baik, serta memacu amalan inovasi kami dengan lebih berkesan," katanya.

Sementara itu, Thailand berjaya mengekalkan kedudukan teratas selama empat tahun berturut-turut, diikuti oleh Taiwan yang melonjak ke tempat kedua, dan Jepun di tempat ketiga.

India memasuki senarai 10 terbaik buat kali pertama manakala Korea Selatan, Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina dan Vietnam mengekalkan kedudukan masing-masing dalam senarai sepuluh terbaik tersebut.

Para pemenang akan dipaparkan di laman khas Agoda (tersedia pada 1 Disember hingga 31 Disember 2022) dan menerima lencana digital Anugerah Gold Circle sebagai penghormatan, bersama-sama Agoda Growth Express (AGX), kredit khas untuk meningkatkan pemasaran di laman web tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain