suria

Umai, terung asam kini lebih ‘nyaman’dengan sentuhan fusion... Segalanya ada di Kuching Bandar Raya Gastronomi Unesco

Hidangan ikan segar iaitu Umai yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melanau di Sarawak turut dihidangkan bersama keropok sagu segar di Kyujin.

SARAWAK sememangnya kaya dengan pelbagai jenis makanan tradisi yang menarik dan unik.

Maka tidak hairanlah apabila makanan menjadi antara titik pemasaran yang baik untuk negeri itu khususnya daripada segi pelancongan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terkejut ada pameran seni di 4 lapangan terbang utama, KUL Art Airport jadi tarikan pelancong

Jika anda nak merasai pelbagai variasi makanan tradisi masyarakat Sarawak, bandar raya Kuching adalah pilihan terbaik untuk 'food hunter' mencari makanan yang sedap atau 'nyaman' dalam bahasa Melayu Sarawak ekoran daripada kepelbagaian kaum yang berada disana.

Ia selari dengan pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Raya Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di bawah kategori gastronomi.

Main Pix

Sarawak juga terkenal dengan pelbagai bahan terbaik untuk memasak.

Bagi yang pernah berkunjung ke Kuching, menu istimewa seperti sayur midin goreng belacan, ais krim gula apong atau terung asam (terung Dayak) masak tumis sudah cukup membuatkan sesiapa yang pernah mencuba pasti akan menggemarinya.

Jika mahukan lebih cabaran, ulat sagu goreng dan umai yang merupakan juadah daripada hirisan ikan mentah dicampur dengan bawang, cili, garam dan perahan air limau pasti membuka selera.

Kalau sebelum ini Kuching lebih terkenal dengan penanaman lada hitam berbanding konsep makanan mewah, kini bandar gastronomi itu berpeluang untuk menonjolkan keunikan makanan warisan yang kurang diketahui.

Menurut Ensiklopedia, gastronomi bermaksud seni dalam penyediaan makanan yang enak.

Makanan 2

Makanan paling ikonik Sarawak iaitu ayam pansuh (kanan) yang mendapat sentuhan gastronomi oleh Chef Alex di Kyujin.

Gastronomi terbahagi kepada pengetahuan dan praktik berkaitan dengan seni kulinari, resipi, ramuan teknik dan kaedah, serta evolusi sejarah makanan dan budaya.

Justeru, evolusi dalam penyediaan makanan tradisi bakal meletakkan Kuching dalam kelasnya yang tersendiri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pengumuman Kuching sebagai Bandar Raya Kreatif membuktikan komitmen berterusan Malaysia dalam mempromosikan negara ini di peta dunia.

"Kementerian akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pemegang taruh yang terlibat bagi memperhalusi strategi yang lebih pragmatik ke arah mempergiatkan lagi program serta aktiviti yang dapat memperlihatkan Bandar Raya Kuching sebagai sebuah Bandar Raya Kreatif," katanya.

motac_

Kek lapis Sarawak menjadi makanan tarikan utama negeri Sarawak.

Dalam pada itu, Nancy berkata, kepelbagaian menu warisan dan hidangan berasaskan etnik menjadikan Bandar Raya Kuching sesuai diangkat sebagai bandar raya kreatif kategori gastronomi.

"Kekayaan biodiversiti yang mempunyai pelbagai tumbuhan herba yang boleh dijadikan sebagai sumber makanan akan terus memberi nilai tambah kepada kekayaan budaya bandar raya ini," katanya lagi.

Jika secara tradisinya 'manok' atau ayam pansuh yang dimasak di dalam buluh lebih sedap jika dibakar dengan bara api seperti membakar lemang, namun kini teknik yang lebih moden digunakan seiring dengan perkembangan semasa.

Kini sudah tiba masanya agar makanan tradisi dihidangkan di restoran mewah dengan sentuhan eksklusif dan sensational.

Paku Pakis

Kuching terkenal dengan paku pakis yang boleh dimakan termasuk dimasak dalam pansuh.

Beberapa tukang masak terkenal dari Kuching seperti Chef Achang dari suku kaum Lun Bawang mula berekperimentasi dengan menghasilkan menu terung asam krim berkeju, daging lembu karamel dalam gula apong diikuti dengan pucuk ubi dan buih roselle.

Sejajar dengan status bandar Gastronomi, tentunya cef-cef terkenal di Kuching akan mengangkat seni kulinari tempatan ke tahap yang tinggi terutamanya dalam mengubah hasil ladangnya untuk dijadikan santapan mewah.

Jika anda sukakan kelainan, bertandanglah ke Kuching kerana di sinilah pengembaraan gastronomi bermula.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain