suria

Jangan terkejut ada pameran seni di 4 lapangan terbang utama, KUL Art Airport jadi tarikan pelancong

'Polyhedron Pavilion' di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto BERNAMA

JIKA berkesempatan berkunjung ke empat buah lapangan terbang antarabangsa kendalian Malaysia Airports ini, jangan terkejut jika anda terlihat pameran lukisan yang cukup menarik di sana.

Itu adalah sebahagian daripada pameran KUL Art Airport yang sedang berlangsung bermula Mac hingga Jun 2022.

KUL Art Airport merupakan satu inisiatif bagi merealisasikan karya seni awam di empat buah Lapangan Terbang Antarabangsa kendalian Malaysia Airports iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Pulau Pinang (PIA), Kota Kinabalu (KKIA) dan Kuching (KIA).

ARTIKEL BERKAITAN: 10 lokasi bazar Ramadan popular di Lembah Klang... Mana satu pilihan kalbu?

Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Datuk Tom Abang Saufi berkata, objektif pameran tersebut adalah bagi memperkasakan ekosistem industri pelancongan dan kebudayaan yang inklusif.

Tidak hanya itu, Tom berkata, ia juga dapat memberi peluang kepada seniman tempatan untuk menerokai dan memperkenalkan identiti seni dan budaya kepada pengunjung antarabangsa.

file7khm0yccczn3u5q1bg2

Inisiatif program ini bagi merealisasikan karya seni awam dapat dipertontonkan di empat lapangan terbang antarabangsa kendalian Malaysia Airports.

"Sejajar dengan matlamat Balai Seni Negara dalam melestarikan ekosistem seni tempatan, KUL Art Airport bakal menjadi tarikan baru pelancong tempatan dan antarabangsa sekali gus dapat memperkenalkan konsep seni kepada orang ramai," katanya.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Balai Seni Negara menganjurkan KUL Art Airport dengan kerjasama Malaysia Airports dan ia dirasmikan oleh menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood pula berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif ini kerana ia bukan sahaja menceriakan suasana di lapangan terbang, malah membantu meningkatkan nama seniman tempatan di persada dunia yang juga merupakan salah satu aspirasi tanggungjawab sosial korporat organisasi.

Karya-karya di semua lokasi ini memberi fokus kepada elemen budaya, seni, warisan dan alam semula jadi.

Artis yang terlibat adalah Sumay Cheah dan Ho Lay Hoon daripada OtherHalf dengan karya bertajuk “OH!Budaya” yang dipamerkan di PIA.

Di KLIA, “Polyhedron Pavilion” merupakan hasil karya Allahyarham Noah Iskandar Fuad manakala di KKIA, lukisan mural dipamerkan di pintu masuk balai pelepasan

Lukisan mural “The Nature Mind of Landscape” adalah hasil karya Kenji Chai yang merupakan seorang pelukis mural. Manakala di KIA, dipamerkan hasil karya oleh kolektif seni Aftermath Thinker Art Collective iaitu “Reciting Hope”.

"Pendekatan visual di ruang awam empat lapangan terbang antarabangsa ini memberi peluang kepada penggiat seni untuk menerokai identiti tempatan, melalui platform yang melibatkan pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Selain bersifat artistik, karya yang dipamerkan juga membawa mesej melalui pendekatan interaktif kepada semua genre umur dan pelbagai bangsa serta negara.

Penerapan teknologi terkini turut diberi keutamaan agar sentiasa seiring dengan perkembangan semasa," ujar Ketua Pengarah Balai Seni Negara iaitu Amerrudin Ahmad.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain