suria

Jangan lepaskan peluang ke Langkawi dengan pelbagai tawaran menarik ini!

Kebenaran melancong ke Pulau Langkawi tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan di bawah PKPD.

PULAU peranginan Langkawi, Kedah boleh dikunjungi pelancong domestik dari seluruh negara bermula 16 September ini.

Pemakluman berhubung prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan (travel bubble) projek rintis Pulau Langkawi itu diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada Khamis lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom melancong! Semua pelancong domestik kecuali dari kawasan PKPD boleh bercuti ke Langkawi

Beliau dalam satu kenyataan berkata, pulau itu boleh dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP termasuklah pelancong dari negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bersempena pembukaan semula Langkawi, pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac) melalui Tourism Malaysia telah menyediakan pelbagai promosi tiket penerbangan, penginapan serta pakej cuti penjawat awam dan pesara kerajaan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan.

file6z5vvplshsm17re5rb99

Antara destinasi menarik di Pulau Langkawi.

Promosi tiket penerbangan

1. Di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomo (PRE) 1.0, Nancy memberitahu Malindo Air dan Firefly menawarkan potongan sebanyak RM50 bagi harga tiket penerbangan.

2. Malaysia Airlines dan AirAsia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala.

Promosi penginapan hotel

1. Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Shopee menawarkan e-baucer menarik menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experience Malaysia Like Never Before.

2. Pelancong domestik boleh menikmati e-baucer bernilai RM50 dan RM100, masing-masing bagi tempahan 3 hari 2 malam di hotel bertaraf 1-3 bintang dan 4-5 bintang melibatkan tujuh buah hotel di Langkawi yang mengambil bahagian.

Tujuh buah hotel itu adalah Bon Ton Langkawi, The Smith House (1-3 bintang), Aloft Langkawi, Resorts World Langkawi, Vivanta Rebak Islands, Pelangi Beach Resort, Berjaya Langkawi Resort (4-5 bintang).

3. Bagi 12,500 tempahan awal yang berjaya, diskaun e-shopping baucar sebanyak RM20 juga akan diberikan untuk membeli-belah terus di aplikasi Shopee.

file7hh2lw46tj518zr38ero

Orang ramai menikmati keindahan di pantai.

Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan

1. Untuk Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan pula, terdapat 10 pakej menarik yang ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 seorang.

2. Tawaran pakej ini antara lain merangkumi penginapan 3 hari 2 malam dan maklumat lanjut mengenainya boleh diakses menerusi ruangan ‘Deals & Packages’ yang dimuat naik di laman sesawang Tourism Malaysia iaitu Malaysia.travel.

Tambah Nancy, pelancong yang menggunakan jalan darat perlu menggunakan khidmat agensi pelancongan, namun ketetapan ini tidak terpakai kepada mereka yang menggunakan pengangkutan udara.

"Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.

"Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan." ujar beliau.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain