suria

100 pengunjung pertama masuk percuma, selebihnya diskaun 50 peratus... Apa lagi jom saksikan panorama indah di Menara KL dan Menara Alor Setar!

Pengunjung bergambar kenangan di Menara Kuala Lumpur.

SETELAH dibenarkan beroperasi selepas ditutup selama dua bulan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar kembali dibuka kepada orang ramai.

Bagi merancakkan kembali pembukaan itu, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. menawarkan promosi istimewa khas buat warganegara Malaysia menerusi Super Deal bermula 17 Mac hingga 16 April 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Nikmati hidangan sambil ditemani hidupan laut di Sea Life... Jom ke Legoland, kini kembali dibuka!

Promosi tersebut menawarkan tiket percuma kepada 100 pengunjung pertama setiap hari untuk ke Pelantar Pemandangan (Observation Deck) di Menara Kuala Lumpur.

Manakala tiket percuma kepada 25 pengunjung pertama setiap hari untuk ke Pelantar Pemandangan di Menara Alor Setar.



Menara Kuala Lumpur menawarkan potongan harga menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar berkata, promosi tersebut adalah usaha bagi merancakkan semula industri pelancongan domestik yang terkesan akibat Covid-19 sebelum ini.

Ia juga bagi memberi peluang dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk melancong di dalam negara dengan promosi menarik dan berbaloi.

"Ini adalah peluang keemasan buat semua yang ingin ke Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar yang ingin membawa keluarga menikmati keindahan Kuala Lumpur dan Alor Setar dari udara," katanya.

Sementara itu, Ainol memberitahu, bagi pengunjung ke 101 dan seterusnya ke Pelantar Pemandangan, Menara Kuala Lumpur, pihaknya menawarkan potongan 50 peratus harga tiket iaitu RM15 dewasa (harga biasa RM30) dan RM10 kanak-kanak (harga biasa RM20).

Bagi Menara Alor Setar, tiket ke Pelantar Pemandangan hanya dijual pada harga RM6 dewasa (harga biasa RM12) dan RM4 kanak-kanak (harga biasa RM8).

Tidak hanya itu katanya, kedua-dua menara ikonik itu turut memberikan harga promosi untuk lawatan ke Sky Deck dengan hanya RM24 dewasa (harga asal RM71) dan RM12 kanak-kanak (harga biasa RM37).



Menara Alor Setar berketinggian 165.5 meter adalah mercu kebanggaan Kedah.

Manakala RM20 dewasa (harga asal RM48) dan RM10 kanak-kanak (harga asal RM28) untuk lawatan ke Star View, Menara Alor Setar.

Sementara itu, Ainol berkata, pihaknya mensasarkan kunjungan sebanyak 20,000 pengunjung sepanjang tempoh promosi itu di kedua-dua menara.

Malah katanya, sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar hanya dibuka dengan kapasiti 50 peratus sahaja.

"Sudah tentu dalam situasi sekarang, keselamatan pengunjung menjadi keutamaan kami dan hanya 120 orang sahaja dibenarkan berada di Sky Deck, Observation Deck, Star View dalam satu-satu masa dengan tempoh sejam.

"Selain itu, kami juga menitikberatkan sanitasi penuh bagi memastikan kebersihan terjamin di seluruh kawasan premis selain pembersihan secara berkala dilakukan selama 45 minit setiap hari," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain