suria

Jangan jadi penumpang menjengkelkan, elak cakap telefon ketika dalam pesawat!

Jagalah adab dan etika ketika berada dalam pesawat, jangan sampai mengganggu ketenangan penumpang lain! -foto Shutter Stock

PERNAH tak anda berada dalam kabin pesawat tapi penumpang berdekatan anda asyik bergayut?

Apa perasaan anda? Pasti rimas kan? Apatah lagi kalau penumpang berkenaan bercakap kuat sambil disulami gelak ketawa.

Biasanya situasi ini berlaku ketika pesawat belum berlepas. Asyik sangat berbual sebelum pesawat terbang, sampai ada yang terlupa peraturan dalam pesawat.

Selagi tak ditegur kru kabin, selagi itulah penumpang berkenaan bercakap di telefon!

Tapi tahukah anda ramai sebenarnya yang berasa jengkel dan terganggu dengan penumpang jenis ini?

Ramai sebenarnya yang sangat menghargai suasana senyap dan tenang ketika berada dalam pesawat. -Gambar hiasan

Memetik Global Traveler, dalam satu kaji selidik Nielsen yang dilakukan oleh Turkish Airlines, 89 peratus penumpang pesawat mahu kabinnya bebas dari bunyi perbualan telefon bimbit.

Mereka tak peduli apa pun masalah atau alasannya, sama ada panggilan dari pejabat ataupun 'drama' kehidupan, yang pasti saat duduk di kerusi pesawat, mereka menganggap ia adalah tempoh tenang yang sangat berharga yang hanya mampu diperolehi ketika dalam pesawat.

Menurut kaji selidik yang dilakukan pada 2018, peratus individu yang membantah penggunaan telefon bimbit untuk berbual dalam kabin pesawat juga semakin meningkat berbanding hasil laporan kaji selidik pada 2015.

Bagaimanapun, mereka bukanlah menolak sepenuhnya teknologi kerana in-flight entertainment adalah satu kemestian dan jangkaan penumpang terhadap jaringan internet percuma atau WiFi semakin meningkat menjadi sekitar 77 peratus.

Kaji selidik yang dilakukan Turkish Airlines itu melibatkan 8,150 pelancong berusia 18 tahun ke atas yang pernah terbang selama dua tahun terakhir.

Responden kaji selidik berasal dari China, Perancis, Jerman, India, Jepun, Afrika Selatan, Sweden, Emiriah Arab Bersatu, Amerika dan United Kingdom.

Elakkan berbual di telefon ketika berada dalam pesawat.

Malah, majoriti responden menganggap panggilan telefon bimbit di kabin pesawat berpotensi mengganggu ketenangan dan keselesaan mereka.

Bagi mereka, penumpang harus tahu tak semua orang ingin tahu dengan urusan atau masalah anda.

Bukan itu sahaja, saiz kabin yang kecil dan padat dengan penumpang dari pelbagai latar belakang serta karektor membuatkan masing-masing diharap saling menjaga tingkah laku.

Jadi, sebelum anda kena cop tak beretika dan biadab, mematikan telefon bimbit sementara ketika terbang bukanlah sesuatu yang membebankan.

Selain penumpang lain kekal selesa, anda juga dapat berehat beberapa jam daripada melayan panggilan seseorang, malah dapat menjimatkan wang!

telefon bimbit, data, internet

Artikel Lain