suria

Tidur di khemah tengah hutan umpama hotel 5 bintang... 6 aktiviti tarikan Dusun Bonda

Percutian di Dusun Bonda semestinya menjanjikan pengalaman terbaik.

SUASANA hijau, bunyi merdu kicauan burung sambil ditemani deruan air sungai yang mengasyikkan pastinya memukau para pengunjung jika memilih percutian bertemakan perkhemahan.

Mungkin percutian di hotel-hotel mewah atau tepian pantai sesuatu yang biasa tetapi apa kata jika sesekali anda terokai suasana baharu iaitu bermalam ala-ala camping di hutan sambil ditemani bunyi unggas dan cengkerik pada waktu malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Inilah masanya nak imbas zaman lampau di 3 rumah tradisional kampung

Mengangkat tema perkhemahan di dalam hutan atau 'glamping' sudah pastinya, Dusun Bonda menjanjikan sebuah destinasi percutian yang luar biasa untuk lari dari kesibukan kota raya.

Terletak di Ulu Tamu, Batang Kali, Selangor, Dusun Bonda mula beroperasi sejak awal Oktober lalu dan kini menjadi pilihan percutian utama pengunjung.

Suasana sekitar Dusun Bonda yang pasti membuatkan pengunjung teruja.

Menurut pengasasnya, Azura Othman, 44, penginapan yang bertemakan perkhemahan ini mempunyai tiga reka bentuk berbeza dan dibina atas tanah milik keluarganya.

Tambah Azura yang merupakan seorang ibu tunggal, idea sederhana ini pada mula terhasil apabila dia mahu merealisasikan kenangan zaman kanak-kanak khas buat anak perempuannya.

"Nama Dusun Bonda, saya berikan sempena kawasan penginapan ini dikelilingi oleh dusun buah-buahan, manakala 'bonda' ialah nama panggilan bonda saya serta panggilan anak kepada saya," katanya.

Glam 4 boleh memuatkan 4 orang dalam satu khemah.

Walaupun bertemakan perkhemahan di hutan, sudah pastinya anda tidak percaya akan kemudahan serta kelengkapan yang disediakan bagi setiap unit khemah.

Seakan-akan di hotel lima bintang, tiga jenis penginapan perkhemahan tampil unik di Dusun Bonda.

1. Glam 4

Mempunyai lima unit khemah selain dilengkapi dengan dua buah kipas meja serta dua buah tilam bersaiz queen. Manakala, tandas berkongsi berada di luar.

Bagi khemah penginapan Glam 4, ia boleh memuatkan sehingga empat orang pengunjung di dalam satu khemah.

Ia menawarkan harga berbeza iaitu padai hari Isnin hingga Khamis, bayarannya ialah RM350, Jumaat dan Ahad (RM400) serta Sabtu dan hari cuti umum pula ialah RM450 semalam termasuk sarapan pagi dan makan malam.

Glam 5 mempunyai ruang rehat serta bilik mandi yang privasi.

2. Glam 5

Berbeza dengan Glam 4, Glam 5 menempatkan empat unit khemah bersaiz besar berbanding saiz khemah Glam 4.

Selain itu, terdapat penambahan fasiliti seperti penghawa dingin, dua buah kipas meja, tiga buah tilam bersaiz queen serta mempunyai tandas persendirian.

Menariknya, untuk Glam 5, pengunjung dapat menikmati pemandangan air melata kerana ia terletak berhadapan sungai serta memiliki taman persendirian untuk pengunjung berehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Sesuai dengan fasiliti yang ditawarkan, harga bagi Glam 5 pada RM650 untuh hari Isnin hingga Khamis, manakala Jumaat dan Ahad bayaran RM700 dikenakan. Bagi hari Sabtu dan cuti umum, harga semalam ialah RM750 termasuk sarapan pagi dan makan malam.

Glam 5, boleh memuatkan enam hingga tujuh orang dewasa termasuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Studio villa, mempunyai kemudahan yang lengkap serta menjamin keselesaan pengunjung.

3. Villas (Studio Villa)

Tampil kelainan dari kedua-dua glam, penginapan vila mempunyai dua buah unit studio dan semestinya ia termasuk kemudahan yang lengkap bagaikan menginap di hotel lima bintang.

Dilengkapi dengan penghawa dingin, kipas siling, kipas meja, peti sejuk serta mesin basuh pasti memberikan keselesaan buat pengunjung.

Manakala, harga penginapannya ialah RM700 (Isnin hingga Khamis) sementara pada Jumaat dan Ahad ialah RM750. Bagaimanapun jika pengunjung menempah pada hari Sabtu dan cuti umum harga bagi satu malam ialah RM800 termasuk sarapan pagi dan makam malam.

Selain menginap, terdapat enam perkara yang boleh dilakukan jika anda memilih percutian ke destinasi ini.

1. Menikmati buah-buahan

Sebut sahaja nama Dusun Bonda, pasti pengunjung akan membayangkan sebuah dusun yang menempatkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan.

Malah jika pengunjung datang bermalam pada musim buah, pengunjung berpeluang untuk menikmati buah-buahan secara percuma. Selain pokok durian dan mempelam, terdapat juga tumbuhan herba yang ditaman di sekeliling kawasan dusun.

Pengunjung juga berpeluang untuk belajar cara menjala ikan.

2. Menjala ikan

Bagi pengunjung yang berasal dari kota atau belum pernah mencuba untuk menjala, anda berpeluang untuk belajar cara yang betul menjala ikan di sungai mengikut cara kampung. Sudah pastinya, pengalaman ini sangat berharga buat anda.

3. Bermain permainan kampung

Anda seisi keluarga juga turut berpeluang bermain permainan kampung yang pastinya membuatkan anda dapat mengimbas zaman kanak-kanak.

Permainan tradisional yang boleh anda main seperti Teng-Teng, baling selipar, main getah, konda-kondi dan permainan tradisional yang lain.

Pelbagai permainan tradisional yang boleh dilakukan oleh pengunjung.

4. BBQ

Tidak dinafikan, kurang lengkap percutian anda seisi keluarga jika tidak melakukan aktiviti barbeku (BBQ). Tempat memanggang dan peralatan BBQ bagi pengunjung menikmati makan malam disediakan

5. Mandi sungai

Bunyi air sungai mengalir semestinya menarik perhatian pengunjung terutamanya buat anak-anak yang dilahirkan dan membesar di kota.

6. Melawat tempat tarikan pelancong

Lokasi Dusun Bonda ini tidak membosankan kerana kedudukannya yang strategik di sekelilingnya.

Antara lokasi menarik ialah Genting Highlands yang jaraknya kira-kira 32 kilometer dan Bukit Tinggi pula kira-kira 39 kilometer. Lapangan terbang terdekat dengan Dusun Bonda ini ialah Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang yang jaraknya 57 kilometer.

Kepada anda yang berhajat memilih percutian seperti ini, tunggu apa lagi, buatlah tempahan awal dengan menghubungi 012-6633667 (Azura).

Dusun Bonda, percutian, travel

Artikel Lain