suria

Lokasi lepak-lepak secara sihat di SuperPark sesuai untuk semua usia

BAGI mereka yang pening mencari lokasi bersesuaian untuk melakukan aktiviti menarik di ibu kota, tarikan terbaharu di pusat membeli-belah Avenue K ini pastinya wajib dikunjungi.

Mula dibuka bermula Sabtu (8 Disember), SuperPark merupakan taman aktiviti berkeluasan 4,000 kaki persegi yang menawarkan lebih 20 permainan menyeronokkan.

Apa yang menjadikan SuperPark begitu unik, ia tidak fokus kepada golongan kanak-kanak sahaja malah permainan yang disediakan juga bersesuaian dengan orang dewasa.

Gayat dan mendebarkan, anda boleh bermain lucncur ais di gelanggang berdindingkan kaca ini.

Selain membawa anak-anak, golongan dewasa juga boleh lepak-lepak sambil melakukan aktiviti sihat di sini.

Dibahagikan kepada tiga seksyen utama, ia merangkumi kawasan permainan Adventure Area, Game Arena dan Freestyle Hall.

Di Adventure Area misalnya, anda boleh melakukan aktiviti parkour interaktif iWall, Flying Fox, gelongsor tiub, pedal car track dan banyak lagi.

Berenang dalam lautan bola, khusus untuk si cilik anda.

Beralih ke bahagian Game Arena, ia menawarkan permainan baseball, street basketball dan juga RoboKeeper iaitu sepakan gol bersama penjaga gol interaktif.

Tarikan paling menarik di SuperPark pastinya di Freestyle Hall yang mana anda boleh melakukan aktiviti mendaki tembok SuperClimb serta menempuhi laluan penuh halangan yang dinamakan sebagai Ninja Track.

Anda juga berpeluang melompat sepuas hati di Trampoline Platform yang luas dan cukup selamat untuk segenap lapisan usia.

Aktiviti lasak untuk golongan dewasa juga ada.

Antara tarikan lain ialah permainan meluncur ais, dan papan selaju.

Malah, anda juga tidak perlu risau kerana setiap permainan akan dikelola oleh petugas khas yang akan memberi tunjuk ajar serta memastikan keselamatan anda sentiasa terjamin.

Bagi mereka yang berminat, pas harian untuk hari biasa dijual pada harga RM50, RM30 (6 petang hingga 9 malam).

Bagi kemasukan pada hujung minggu, pas dijual pada harga RM70 untuk akses sepanjang hari, RM45 (6 petang hingga 9 malam dan 9 pagi hingga 1 tengah hari) serta RM55 (1.30 hingga 5.30 petang).

SuperPark, Avenue K

Artikel Lain